Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain

KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa pemimpin DAP membela pembantu bekas Menteri Ekonomi, James Chai dan mengkritik siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menimbulkan persoalan.

Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, tindakan itu dilihat seolah-olah menentang usaha kerajaan untuk menyelesaikan siasatan dalam kes yang melibatkan nilai perjanjian lebih RM1.1 bilion.

“Adakah DAP juga terlibat dalam kes yang sedang disiasat oleh pihak SPRM ini? Tiba-tiba pemimpin DAP pula yang cuba mengkritik SPRM dan membela James Chai.

“Sebagai anggota parti kerajaan, DAP seharusnya menyokong tindakan SPRM yang sedang bertungkus-lumus untuk menyelesaikan siasatan kes ke atas Rafizi bukan sebaliknya,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Khamis lalu, beberapa ahli Parlimen kerajaan tampil mempertahankan Chai selepas SPRM mengeluarkan notis bagi mengesan keberadaan penganalisis politik itu.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula menggesa SPRM menilai semula cara siasatan yang dijalankan terhadap Chai bagi mengekalkan keyakinan awam terhadap agensi penguatkuasaan itu.

Selain itu, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin membidas dakwaan kononnya Rafizi dan pasukannya mendapat keuntungan peribadi daripada perjanjian dengan syarikat gergasi semikonduktor British, Arm Holdings sambil menyatakan tidak munasabah.

Dalam pada itu, Zaidi juga mempersoalkan niat sebenar DAP di sebalik tindakan melawan arus itu apabila cuba membangkitkan isu sentimen kononnya wujud ketakutan awam dengan cara dan tindakan SPRM dalam siasatan ini.

“Mungkin sudah tiba masanya Jabatan Netizen sendiri menyiasat siapakah James Chai dan apakah kaitannya dengan DAP sehingga mereka bersuara sedemikian rupa.

“Sedangkan Rafizi begitu bersungguh-sungguh mengkritik kelemahan kepimpinan dan kerajaan PMX yang juga pasti terkesan kepada DAP,” katanya.

Sementara itu, Zaidi turut berkata, kegagalan Chai hadir ke pejabat SPRM akan mengundang kebimbangan berulangnya episod sama dalam kes 1MDB.

“SPRM tidak dapat membawa Jho Low ke muka pengadilan apabila dia menyembunyikan diri di luar negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast