Tangkap layar menunjukkan dakwaan tajaan pengajian anak mufti dan TKM 1 Pulau Pinang ke luar negara.

GEORGE TOWN – Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang menafikan dakwaan berhubung pelaksanaan Tajaan Inkubator Ulul Albab yang kini tular di media sosial.

KITAB dalam kenyataan berkata, Pusat Inkubator Ulul Albab baru sahaja dilancarkan pada 3 Februari lalu menerusi Majlis Citra Korporat dengan nama Pusat Pendidikan Syeikh Abdullah Fahim (SAF Centre) dan program tersebut belum dilaksanakan secara rasmi serta masih dalam proses penyediaan kerangka pelaksanaan.

“Pihak KITAB menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibangkitkan dan menegaskan bahawa isu tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Tajaan Inkubator Ulul Albab.

“Sebaliknya perkara yang dibangkitkan adalah berkaitan biasiswa pengajian yang ditawarkan kepada pelajar lepasan Diploma KITAB untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti di Timur Tengah, khususnya Jordan dan Mesir.

“Program penghantaran pelajar lepasan Diploma ini telah dilaksanakan sejak 2022 dan kini memasuki kumpulan ketigi, malah tajaan ini diberikan kepada pelajar yang layak serta memenuhi syarat yang ditetapkan berdasarkan kategori asnaf Fi Sabilillah, tanpa mengira status individu,” katanya hari ini.

KITAB turut menegaskan bahawa anak Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid dan anak Mufti negeri Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman bukan penerima tajaan di bawah Program Inkubator Ulul Albab, sebaliknya hanya layak dipertimbangkan untuk biasiswa pengajian Ijazah Sarjana Muda ke Timur Tengah.

“Dakwaan bahawa anak beliau tidak memenuhi syarat adalah tidak benar sama sekali kerana pelajar telah melalui proses penilaian serta memenuhi syarat yang ditetapkan oleh institusi dan universiti di Jordan, serta telah melepasi tapisan Education Malaysia Jordan (EMJ), Pejabat Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan.

“Malah, beliau sendiri (Mohamad Abdul Hamid) telah menolak tawaran biasiswa tersebut untuk anaknya,” katanya.

Terdahulu tular dakwaan anak Mohamad dan Mohd Sukki ditaja untuk melanjutkan pengajian di   Jordan. – MalaysiaGette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast