KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir bukan berstatus `aset’ untuk kembali kepada UMNO, justeru diingatkan supaya tidak mudah `perasan’ dan berasakan beliau sangat diperlukan.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan Mukhriz bahawa beliau tidak akan kembali kepada UMNO bukan satu perkara yang memberi kesan besar kepada parti itu.
Malah, menurutnya, perjalanan UMNO telah lama bergerak ke hadapan tanpa kehadiran Mukhriz dan kemasukan atau ketiadaan bekas Naib Presiden UMNO berkenaan tidak menambah dan tidak juga mengurangkan kekuatan UMNO hari ini.
“Semasa berada dalam UMNO dahulu, Mukhriz tidak pernah menonjol sebagai tokoh politik yang benar-benar berdikari.
“Kedudukannya banyak bergantung kepada pengaruh dan aura ayahandanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukan kepada kekuatan politiknya sendiri,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Mukhriz yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menegaskan beliau tidak akan kembali menyertai UMNO, di sebalik pelawaan parti itu kepada bekas ahli dan pemimpinya menerusi inisiatif `Rumah Bangsa’.
Menurut Mukhriz, beliau akan terus kekal bersama Pejuang kerana menyifatkan UMNO kini sudah jauh terpesong daripada landasan dan matlamat asal penubuhannya.
Sementara itu, Shaiful Hazizy berkata, parti Pejuang yang dipimpin Mukhriz ketika ini juga disifatkan sedang bergelut mencari arah.
Dakwanya, Pejuang yang pernah digembar-gemburkan sebagai wadah politik baharu kini kelihatan semakin kehilangan tempat dalam landskap politik negara.
Atas sebab itu, tambahnya, UMNO tidak perlu berasakan seolah-olah kehilangan sesuatu yang besar dengan keputusan Mukhriz untuk tidak kembali ke parti tersebut.
“UMNO hari ini sedang membina semula kekuatan parti dengan kepimpinan baharu, semangat baharu dan sokongan akar umbi yang semakin pulih.
“Seperti yang sering disebut oleh pimpinan parti, pintu rumah UMNO sentiasa terbuka kepada sesiapa yang benar-benar ikhlas mahu kembali berjuang bersama parti.
“Terpulang kepada individu sama ada mahu terus berada di luar pagar, atau akhirnya pulang ke rumah sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette
















