GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung satu video siaran langsung di media sosial TikTok yang memaparkan pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan, provokasi, penghinaan serta perkauman.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung paparan video berkenaan pada 8 Mac lalu.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Justeru kita memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau menyebarkan maklumat tidak sahih, provokatif atau spekulasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara kaum serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
“Polis sentiasa memantau perkembangan keadaan ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batasan undang-undang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Dalam perkembangan berkaitan, Azizee berkata, polis telah menahan empat lelaki tempatan di kawasan Bukit Mertajam kira-kira pukul 2.30 pagi hari ini bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah dan khianat terhadap sebuah kenderaan yang dipandu oleh Zamri Vinoth di tepi Jalan Taman Aston Acacia, Bukit Mertajam pada 7 Mac lalu.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan berumur antara 29 hingga 31 tahun, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan dalam kes itu seramai enam orang.
“Kesemua suspek dibenarkan reman selama dua hari oleh Mahkamah Bukit Mertajam dan hasil semakan mendapati semua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah, namun ujian saringan awal air kencing negatif dadah.
“Kita turut merampas beberapa unit telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 427 akta sama kerana khianat,” katanya. – MalaysiaGazette
















