KUALA LUMPUR – Penyertaan usahawan program Gate To Global (GTG) Majlis Amanah Rakyat (Mara) di FOODEX Japan 2026 membuahkan hasil apabila tiga memorandum persefahaman (MoU) dimeterai dengan potensi jualan keseluruhan bernilai RM39.5 juta.
Majlis pertukaran MoU itu disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, sempena lawatan beliau ke pavilion usahawan MARA di Tokyo Big Sight yang menjadi lokasi penganjuran pameran makanan dan minuman antarabangsa tersebut bermula 10 hingga 13 Mac ini.
MoU pertama melibatkan Joeyees Trading Sdn. Bhd. dengan pengedar Jepun, Kowari Orchard Inc dengan potensi jualan RM4.5 juta.
Sementara itu, Aducktive Food Sdn. Bhd. memeterai dua lagi kerjasama strategik iaitu bersama syarikat pengedar Korea Selatan, Q And Life Seoul Korea bernilai RM25 juta serta Kowari Orchard Inc dengan potensi jualan RM10 juta.
“Nilai MoU ini mencerminkan keyakinan rakan dagang antarabangsa terhadap produk makanan dan minuman keluaran usahawan Malaysia yang semakin mendapat tempat di pasaran global,” kata Mara menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Pada penyertaan kali ini, Mara membawa 10 usahawan tempatan dengan lebih 80 produk (SKU) untuk dipamerkan kepada pembeli dan pengedar antarabangsa, sekali gus membuka peluang memperluaskan pasaran eksport khususnya Asia.
Turut hadir pada program itu, Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial MARA, Mimi Mazlin Mohamed Yusof; Pengarah Mara Korea Selatan, Mohd Zul Faisal Mohamed Zain dan Timbalan Pengarah Pembangunan Mara Terengganu, Nur Zaliza Mohd Nor. – MalaysiaGazette















