JOHOR BAHRU – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengenal pasti seluas 423,857.52 meter persegi di bandar raya ini untuk dijadikan kawasan ‘sifar sisa’ selaras dengan perancangan ‘Green Deal Johor’.
Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, ini membabitkan kawasan bermula dari Waterfront, Johor Bahru ke Danga Bay dan ke kawasan Bukit Senyum iaitu dalam radius kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar Johor Bahru yang juga kawasan tumpuan pelancongan.
“Sekitar kawasan ‘sifar sisa’ itu membabitkan 13,956 premis termasuk premis permiagaan, kediaman, komersial, institusi dan pejabat-pejabat kerajaan. Satu operasi ‘Ops Greater’ dijalankan bagi mencapai objektif yang ditetapkan itu.
“Antara pelaksanaan ‘Ops Greater’ meliputi tujuh strategi utama iaitu ‘deep cleaning’ yang menggunakan ‘water jet’ bagi membersihkan kotoran minyak dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan ‘Ops Greater’ di sekitar kawasan pusat bandar di sini, hari ini.
Katanya, strategi lain ialah ‘road sweeper’ secara berjadual dan penggunaan jentera baharu; penukaran 10,938 unit tong sampah baharu, Ops Penguatkuasaan Sampah Kecil (PSK); ‘Clean Living Entry Awareness Nationwide (C.L.E.A.N); Ops Jeling dan Sejiwa.
Jelasnya, strategi Sejiwa adalah meletakkan petugas pembersihan selama 24 jam setiap hari di kawasan terlibat bagi memastikan sampah dibersihkan setiap masa.
Ops Jeling pula katanya, adalah individu yang memandu kenderaan atau lori meronda di kawasan ‘sifar sisa’ akan ‘menjeling’ kiri kanan dan apabila ada sampah, terus angkut dan bersihkan.
Menurut Zainal Fitri, sebanyak 16 unit kenderaan baharu sudah ditukar membabitkan 12 kompaktor 19 tan; satu mini kompaktor 11 tan dan tiga tipper 7.5 tan bagi menyokong inisiatif terbabit.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya terus menjaga kawasan bandar kerana tanggungjawab memastikan kawasan pusat bandar itu bersih adalah tanggungjawab bersama-sama.
“Pengunjung atau pelancong perlu tahu pentingnya untuk menjaga kebersihan. Kita harap inisiatif ‘Green Deal Johor’ ini dapat kita capai dan bebas sisa atau tiada sampah. Operasi ini kita akan laksanakan secara berterusan,” jelasnya.- MalaysiaGazette
















