Seorang wanita warga asing ditemukan maut dengan 14 kesan tikaman seluruh tubuh di sebuah bilik hotel di Taman Maju Jaya, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki diberkas bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita warga asing yang ditemukan dengan 14 kesan tikaman di seluruh tubuh di sebuah bilik hotel di Taman Maju Jaya di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis, Hoo Chuan Huat berkata, suspek yang juga warga asing berusia 19 tahun ditangkap dalam tempoh 24 jam selepas kejadian berlaku.

“Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama-sama bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan suspek di sebuah kondominium di bandar raya ini padaa jam 8 malam tadi.

“Polis turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyαi kaitan dengan kejadian terbabit termasuk sehelai baju t-shirt coklat, sehelai seluar jeans panjang biru, topi  hitam, sepasang kasut getah hitam, sebuah cakera keras pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) dan dua telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga negatif dan bebas daripada sebarang jenis dadah.

Beliau berkata, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini untuk permohonan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, majistret meluluskan perintah tahanan reman selama tujuh hari mulai 12 hingga 18 Mac ini bagi siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara 30 tahun hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan,” ujarnya.

Polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada balai polis berhampiran dan talian hotline polis johor 019-2792095 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor 07-2212999.

Semalam portal ini melaporkan mangsa berusia 37 tahun berkemungkinan meninggal dunia antara pukul 1.30 pagi hingga 4.30 awal pagi.

Terdapat 14 kesan tikaman di tubuh wanita berkenaan termasuk 11 kesan tikaman di bahagian dada serta masing-masing satu kesan tikaman di leher, jari telunjuk dan lengan kanannya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast