Ketua AMK Johor
Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Dakwaan wujud segelintir ‘orang dalam’ Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang cuba menjadikan Tunku Mahkota Ismail sebagai kambing hitam dalam isu membabitkan pemain warisan Harimau Malaya perlu disiasat secara telus, berintegriti dan berani.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor Faezuddin Puad berkata, proses siasatan tersebut perlu dilakukan dan bukannya budaya melempar tuduhan terhadap baginda tanpa asas semata-mata.

“Dalam isu sebesar ini, keutamaan mestilah diberikan kepada usaha mencari kebenaran dan mengenal pasti pihak yang benar-benar cuai, menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa.

“Ini satu tuduhan yang serius dan jahat terhadap baginda. TMJ tidak seharusnya dijadikan sasaran kepada sebarang permainan politik dalaman, percaturan kepentingan tertentu atau usaha menutup kelemahan pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, baginda selama ini sudah memainkan peranan besar dalam membangunkan ekosistem bola sepak negara, khususnya daripada sudut profesionalisme, pelaburan, disiplin pengurusan dan keyakinan rakyat terhadap masa depan bola sepak tanah air.

Sumbangan dan komitmen baginda katanya, tidak wajar dibalas dengan tuduhan melulu atau percubaan untuk meletakkan kesalahan secara tidak adil ke atas Tunku Mahkota Ismail.

Kelmarin, Tunku Mahkota Ismail mahu ‘orang dalam’ FAM bertanggungjawab dan tidak lepas tangan susulan keputusan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membabitkan kes tujuh pemain Harimau Malaya.

Baginda dalam satu hantaran dalam laman media sosial X mendakwa, terdapat segelintir ‘orang dalam’ FAM yang bertindak mendalangi kempen sabotaj bagi menjadikan baginda sebagai kambing hitam.

Pada Khamis lalu, CAS sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain Harimau Malaya terhadap hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan.

Bagaimanapun, larangan itu kini hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

CAS turut mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menyifatkan hukuman itu wajar serta seimbang.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast