KLUANG – Seorang lelaki sanggup menyorok atas siling rumah untuk mengelak dicekup berkhalwat dengan isteri orang semasa serbuan cegah maksiat dilakukan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pagi semalam.
Bagaimanapun tindakan tersebut tidak berhasil apabila penguat kuasa berjaya menemukannya semasa operasi yang dilakukan pukul 11 pagi semalam.
Menurut JAINJ, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan awam mengenai kehadiran seorang lelaki yang kerap datang ke rumah wanita berkenaan pada waktu siang ketika suaminya bekerja dan anak-anak ke sekolah.
“Sebaik tiba di lokasi, penguat kuasa mendapati hanya sebuah kereta milik wanita berusia 30-an itu berada di dalam kawasan rumah manakala pintu pagar hadapan tidak berkunci.
“Penguat kuasa kemudian mengetuk pintu rumah beberapa kali sebelum ia dibuka oleh wanita terbabit yang memaklumkan dia berada seorang diri di rumah.
“Bagaimanapun pemeriksaan lanjut di dalam rumah menimbulkan kecurigaan apabila terdapat lubang siling yang terbuka di salah satu bilik,” menurut JAINJ dalam satu kenyataan.
Susulan itu, seorang anggota penguat kuasa bertindak memanjat ke ruang siling menggunakan kerusi untuk membuat pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki sedang bersembunyi di ruang siling rumah berkenaan sebelum diarahkan turun untuk siasatan lanjut,” katanya.
Siasatan mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu sudah berkahwin, pekerja swasta dan melakukan kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing selain tinggal di daerah lain.
“Wanita berkenaan pula dipercayai sudah bersuami dan menjalankan perniagaan secara sambilan. Difahamkan lelaki itu meletakkan keretanya di kawasan rumah kedai kira-kira satu hingga dua kilometer dari rumah wanita berkenaan sebelum dijemput wanita itu untuk masuk ke rumah.
“Pemeriksaan lanjut di bilik utama rumah berkenaan mendapati keadaan katil tidak terurus dipercayai baru digunakan,” ujarnya.
Kedua-dua mereka kemudian ditahan kerana disyaki berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor sebelum dibawa ke pejabat agama untuk tindakan lanjut
Kes berkenaan akan dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk proses pendakwaan.- MalaysiaGazette
















