Kereta dan barang yang dirampas daripada dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai migresen dan memeras ugut pekerja warga asing dalam kejadian di Iskandar Puteri, Johor.

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan dua lelaki selepas disyaki menyamar sebagai pegawai penguat kuasa imigresen dan memeras ugut pekerja warga asing di kawasan Taman Nusa Bestari, Skudai, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun pada pukul 9.12 malam, Ahad lalu.

Menurutnya, mangsa memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada adiknya yang berusia 23 tahun yang diperas ugut oleh dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.

“Menurut pengadu, adiknya telah ditahan oleh dua lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen pada pukul 8 malam, hari yang sama.

“Suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM1,600 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya menahan dua suspek tempatan berusia 40 dan 41 tahun di kawasan Taman Nusa Bestari, pukul 12.20 tengah malam Isnin lalu.

Katanya, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

“Polis turut merampas beberapa barangan antaranya sebuah kereta, dua set walkie-talkie, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama serta dua beg yang mengandungi salinan pasport mangsa dan wang tunai RM80.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara Negeri Johor dan kedua-dua suspek diarahkan dituduh di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan samaran,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya majikan yang mempunyai pekerja warga asing supaya sentiasa menasihati pekerja mereka agar lebih berwaspada bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah.

“Sekiranya berlaku kejadian jenayah, mangsa diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast