Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Konvensyen Keadilan Sarawak 2026 di Kuching, Sarawak. 13 Mac 2026. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – PKR tidak pernah berganjak daripada prinsip bahawa kemajuan negara mesti dinikmati semua dan tidak hanya berlegar dalam kalangan elit semata, kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahnya, sejak dahulu lagi, PKR tegas membawa suara masyarakat pelbagai kaum dan wilayah melibatkan isu-isu tanah adat di Sarawak hinggalah nasib rakyat di Sabah, Kelantan, Perlis dan Johor.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia hanya akan aman dan kuat apabila melihat kepentingan bersama sebagai asas perjuangan, melangkau sentimen sempit perkauman, daerah mahu pun kelompok.

“Lantaran itu, saya menyeru seluruh pimpinan, anggota dan aktivis partai agar terus memperkukuh saf perjuangan.

“Saya turut tegaskan betapa ujian sebenar untuk melaksanakan perubahan atau reformasi adalah pada saat berkuasa, bukan sesudah tidak berkuasa atau telah tersingkir.

“Saya akui bahawa tidak semua reformasi yang kita dambakan itu dapat kita lakukan secepat yang kita mahu, tapi yang penting kita mesti konsisten dan menginsafi bahawa kita tidak ‘perfect’ dan jalankan kerja dengan sebaik dan sedayanya.

“Kekuatan saya hari ini berpaksi pada kekuatan parti; iaitu cabang, ranting, Angkatan Muda serta sayap Wanita yang terus menyemarakkan semangat kita untuk menjelmakan Malaysia yang adil, makmur dan bermaruah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.

Terdahulu, beliau yang mengadakan lawatan kerja Kuching, Sarawak hari ini sempat menghadiri Mini Konvensyen KEADILAN lantas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang peringkat Sarawak, petang tadi.

Menurut Anwar, beliau menganggap majlis tersebut sebagai pertemuan bersama keluarga besar parti dan amat penting kerana PKR tidak sekadar organisasi politik tetapi merupakan wadah yang lahir dari tekad untuk membawa perubahan, menegak keadilan dan mengangkat martabat rakyat seluruhnya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast