Terdapat 33 kamera CCTV yang dipasang di semua lebuh raya di mana orang ramai dapat mengakses melalui aplikasi TuJu.

BATU PAHAT – Aplikasi TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) membantu orang ramai untuk balik bercuti kerana mempunyai banyak informasi berkaitan jalan yang bakal dilalui.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, aplikasi itu yang boleh dimuat naik melalui App Store memberi panduan merancang masa perjalanan yang bersesuaian agar tidak terkandas dalam kesesakan atau jalan-jalan bermasalah dan tidak boleh dilalui.

“Kelebihan yang ada pada aplikasi ini adalah dilengkapi ciri navigasi pintar seperti navigasi tepat, maklumat tol dan trafik masa nyata, kemudahan kawasan rehat dan rawat, akses kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung dan bantuan kecemasan.

“Terdapat 33 kamera CCTV yang dipasang di semua lebuh raya di mana orang ramai dapat mengakses melalui aplikasi TuJu ini dan sangat memudahkan orang ramai,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Maslan (empat kiri) menyampaikan bakul makanan kepada golongan asnaf dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bakul Makanan kepada golongan Asnaf dalam kawasan Jawatankuasa Penyelaras Cawangan-Cawangan Penggaram di Taman Melodi, Batu Pahat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bakul Makanan kepada golongan asnaf dalam kawasan Jawatankuasa Penyelaras Cawangan-Cawangan Penggaram di Taman Melodi di sini hari ini.

Katanya, TuJu dibangunkan untuk memudahkan perancangan perjalanan, menjadi platfrom bantuan kecemasan yang pantas serta meningkatkan kecekapan operasi konsesi lebuh raya.

Melalui objektif itu katanya, TuJu berfungsi sebagai inisiatif pintar menggabungkan teknologi dan keselamatan bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, bahawa Smart Lane yang disediakan akan diaktifkan mengikut keperluan semasa di lebuh raya bagi memastikan perjalanan lancar sepanjang musim cuti perayaan Aidilfitri dijangka bermula Rabu ini.

“Orang ramai digalakkan untuk memuat naik aplikasi ini sebagai salah satu kemudahan dalam perancangan perjalanan mereka,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast