KUALA LUMPUR Pemimpin DAP yang juga Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau menyifatkan kenyataan berbaur rasis serta menindas penganut agama lain sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Menurut beliau, kenyataan sedemikian jelas memperlihatkan sikap munafik serta kejahilan pihak tertentu yang sanggup memperalatkan agama untuk menyemai kebencian dalam kalangan rakyat.
Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook beliau hari ini, Ganabatirau berkata, Malaysia dibina atas asas kepelbagaian kaum dan agama yang hidup dalam suasana saling menghormati, justeru sebarang kenyataan yang mencetuskan kebencian atau permusuhan tidak boleh dibiarkan.
Beliau menegaskan agama tidak seharusnya dijadikan alat untuk menyerang atau merendahkan kepercayaan pihak lain, sebaliknya perlu menjadi asas kepada nilai toleransi, hormat-menghormati dan keharmonian masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menolak sebarang bentuk provokasi boleh menjejaskan perpaduan rakyat serta terus mempertahankan keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama. – MalaysiaGazette















