KOTA TINGGI – Sekolah Kebangsaan Bandar (SeBaKTi) di sini tampil dengan pendekatan proaktif bagi memastikan keselamatan murid dan kelangsungan operasi sekolah sentiasa terjamin terutama semasa musim hujan.
Guru Besarnya, Mohd Akhir Othman berkata, pihak sekolah tidak menunggu bencana berlaku sebelum bertindak, sebaliknya sentiasa berada dalam mod bersiap siaga pada bila-bila masa.
“Kami bukan tunggu banjir baru nak buat persediaan. Setiap kali hujan lebat, kami sudah ada pelan tindakan. Memang sekolah ini bukan pusat pemindahan sementara (PPS), namun ini antara sekolah yang paling terdedah kepada limpahan air sungai berdekatan yang mengakibatkan banjir.
“Jika sekolah lain jadi PPS, kami pula sekolah yang memang boleh dinaiki air. Jadi persediaan itu wajib,” katanya ketika ditemui pada Program Iftar Lepak SeBaKTi di sini, malam tadi.
Katanya, antara langkah awal yang diambil termasuk memindahkan pejabat sekolah yang dahulunya di tingkat satu ke tingkat tiga serta menaikkan makmal komputer dan peralatan penting ke aras lebih tinggi.
“Kami belajar daripada pengalaman banjir besar sebelum ini. Kalau air naik terlalu cepat, memang tak sempat angkat meja dan kerusi. Banjir besar pada 2006 pernah tenggelamkan sehingga paras tingkat satu bangunan sekolah.
“Pengawal keselamatan juga diarahkan memantau paras air parit di belakang sekolah dan melaporkan segera sekiranya berlaku kenaikan mendadak,” katanya.
Dari sudut keselamatan murid, Mohd Akhir menegaskan pihak sekolah tidak akan menunggu air naik ke paras tinggi sebelum bertindak.
“Sebaik sahaja nampak air mula naik, murid akan dibenarkan pulang lebih awal. Keselamatan mereka keutamaan. Bagi memperkukuh kesiapsiagaan, sekolah turut menganjurkan program prihatin Ihsan Johor kesiapsiagaan bencana melibatkan warga sekolah.
“Dalam program itu, pelajar didedahkan kepada tindakan perlu diambil semasa dan selepas bencana, termasuk bahaya haiwan berbisa yang sering muncul selepas banjir seperti ular dan kala jengking.
“Pelajar selalu nampak air banjir macam benda menyeronokkan. Tapi hakikatnya ia penuh risiko. Kita mahu ubah mentaliti itu,” katanya.
Tambahnya, selain kesiapsiagaan fizikal, sekolah turut menitikberatkan kekuatan komuniti dengan mengadakan majlis berbuka puasa bersama ibu bapa dan seluruh warga sekolah.
Menurutnya, sokongan ibu bapa dan jaringan dengan NGO amat penting dalam memastikan sekolah mampu berfungsi dengan baik ketika berdepan situasi luar jangka.- MalaysiaGazette
















