Seorang pemandu pikap rentung selepas pacuan empat rodanya terbakar dalam nahas dengan sebuah treler di Kilometer 193.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Jasin awal pagi tadi.

JASIN – Seorang pemandu pikap rentung selepas pacuan empat rodanya terbakar dalam nahas dengan sebuah treler di Kilometer 193.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi itu, mangsa yang identitinya masih belum dikenal pasti ditemukan tersepit dan rentung selepas api berjaya dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.15 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati sebuah lori treler terbakar 50 peratus manakala pacuan empat roda terbabit musnah 80 peratus dalam kebakaran itu.

“Pemandu pacuan empat roda terbabit didapati tersepit di dalam kenderaan tersebut manakala pemandu lori treler berjaya keluar dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, operasi melibatkan seramai 20 anggota bomba dengan beberapa jentera dari BBP Ayer Keroh dan BBP Jasin Bestari.

“Selepas api berjaya dikawal, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang rentung sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemandu lori treler berusia 54 tahun tidak mengalami kecederaan dan operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 4.41 pagi sebelum ditamatkan kira-kira 12 minit kemudian,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast