KUALA LUMPUR – The Asia Records Book of Achievements 2025/26 bakal menjadi arkib rasmi pertama sebagai satu rekod formal pencapaian cemerlang di seluruh Asia yang juga berfungsi sebagai penanda aras bagi pemimpin dan perusahaan masa depan.
Pengasas dan Pengerusi Penganjur The Asia Records, Datuk KK Chua berkata, buku itu bertujuan meningkatkan kredibiliti para penerima, memudahkan pengiktirafan merentas sempadan serta memberi inspirasi kepada generasi baharu pencetus perubahan.
“Pemilihan penerima The Asia Records dibuat melalui proses pencalonan terbuka, diikuti penilaian pakar berdasarkan kriteria yang telus termasuk impak, inovasi, kebolehskalaan, kelestarian dan integriti.
“Proses pengesahan turut dijalankan oleh panel bebas dan jawatankuasa pemantau bagi memastikan kredibiliti serta ketelusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pelancaran rasmi The Asia Records Book of Achievements 2025/26 itu berlangsung baru-baru ini sempena malam pengiktirafan sulung organisasi tersebut.
Majlis yang julung kali diadakan itu bertujuan meraikan kecemerlangan usahawan serantau serta mengiktiraf pemimpin dan organisasi yang berani mencabar kebiasaan, sekali gus memberikan impak yang luar biasa.
Mengulas lanjut, Chua menambah, beliau berbangga terhadap sambutan yang diterima oleh The Asia Records dan pihaknya berhasrat membina sebuah komuniti yang mencipta impak, mencabar kebiasaan dan meninggalkan legasi yang berkekalan.
“Sambutan yang amat menggalakkan ini menunjukkan bahawa rantau ini dahagakan pengiktirafan yang sangat bermakna kepada pencapaian mereka.
“Kumpulan pemegang rekod tahun ini menampilkan nama-nama berpengaruh di peringkat global dan serantau merentasi pelbagai industri seperti Amazon, Starbucks, iQIYI dan Batik Air.
“Para penerima ini mewakili kepimpinan keusahawanan, inovasi dalam platform digital dan kandungan, kecemerlangan dalam industri penerbangan dan logistik, serta sumbangan korporat yang membentuk pasaran di seluruh Asia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















