S. P. Punithan.

KUALA LUMPUR – Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) melahirkan rasa ‘terkejut’ terhadap kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mendakwa MIC akan menerima surat penyertaan menyertai PN hari ini.

Presidennya, P. Punithan menegaskan, kenyataan tersebut tidak selari dengan apa yang sebenarnya dibincangkan dalam mesyuarat dalaman PN sebelum ini.

“Permohonan kemasukan MIC sebenarnya sudah mula dibincangkan sejak Disember lalu, namun ia hanyalah kelulusan secara dasar dan belum mencapai sebarang keputusan muktamad,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, mesyuarat terbaharu hanya meluluskan perkara itu secara prinsip berdasarkan surat readmission, bukannya satu pengesahan muktamad seperti yang digambarkan.

“Secara dasar, perkara ini hanya dibincangkan dan dipersetujui untuk diteruskan dengan perbincangan lanjut bersama Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

“Ia bukan melibatkan penyerahan atau pengeluaran surat kemasukan rasmi,” tegasnya lagi.

Punithan turut menjelaskan keputusan pada bulan Disember dalam mesyuarat PN bukan sebulat suara, sebaliknya majoriti 3-1 dengan Pas, Bersatu dan Gerakan menyokong, manakala MIPP mengemukakan bantahan bertulis.

Beliau berkata, minit mesyuarat yang diluluskan juga hanya memperincikan rundingan akan diteruskan dan satu mesyuarat susulan perlu diadakan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

“Ini jelas menunjukkan proses itu masih berjalan. Tidak timbul soal MIC sudah diterima secara rasmi ketika ini,” ujarnya.

Tambahnya, wujud kekeliruan berdasarkan kenyataan surat penerimaan rasmi MIC ke dalam PN akan diserahkan dalam masa terdekat, sedangkan perkara itu tidak diputuskan dalam mesyuarat Sabtu lalu.

“Ini bukan seperti yang dibincangkan pada 14 Mac lepas. Apa yang dipersetujui hanyalah untuk meneruskan rundingan, bukannya mengeluarkan surat penerimaan,” dedah beliau.

Punithan juga menegaskan setakat ini, MIC sendiri belum menyatakan persetujuan untuk menyertai PN.

Terdahulu, Takiyuddin dilaporkan berkata, PN menawarkan peranan dan kedudukan lebih baik kepada MIC sekiranya parti itu menyertai gabungan berkenaan, selain memaklumkan bahawa surat rasmi akan diserahkan bagi mengesahkan penerimaan tersebut.

Beliau turut berkata MIC sebenarnya telah diterima lebih awal iaitu pada Disember lalu, dan mesyuarat PN pada 14 Mac lalu hanya mengesahkan minit penerimaan parti itu sebagai anggota di bawah kepimpinan baharu, namun keputusan muktamad perlu dibuat MIC dalam masa terdekat.

Takiyuddin juga dijadualkan bertemu Vigneswaran di sini bagi menjelaskan keputusan tersebut. – MalaysiaGazette 

MIC sah sertai PN, permohonan diluluskan – Takiyuddin

MIC tak pernah mohon secara rasmi sertai PN – Saravanan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast