KUALA LUMPUR – Perkhidmatan bas percuma GOKL diperluaskan dengan masuk terus ke perkarangan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bermula 1 April ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif yang digerakkan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertujuan memudahkan pesakit dan warga kota mendapatkan rawatan tanpa perlu berjalan jauh dari luar kawasan hospital.
“Apa yang DBKL buat adalah menyediakan akses terus ke dalam HRC bagi memudahkan urusan rawatan.
“Dulu bas hanya berhenti di luar, tetapi sekarang laluan GOKL11 (MRT Maluri – Bandar Tun Razak) telah dipanjangkan hingga ke dalam kawasan hospital,” katanya ketika ditemui di HRC hari ini.
Turut hadir bersama adalah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.
Hannah berkata, penyelarasan pengangkutan awam terus ke pusat kesihatan ini adalah sebahagian daripada penelitian menyeluruh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam memastikan aset kerajaan tidak terasing daripada keperluan mobiliti harian penduduk.
Dalam pada itu, selain akses pengangkutan, fokus turut diberikan kepada pembangunan kawasan padang di HRC.
“JWP kini sedang meneliti kerjasama dengan Perbadanan Stadium Malaysia bagi mengenal pasti aspek penambahbaikan yang boleh dilakukan pada fasiliti tersebut.
“Inisiatif yang turut disokong oleh ahli Parlimen Cheras itu bertujuan menjadikan padang berkenaan sebagai ruang komuniti yang aktif, termasuk menyediakan tempat yang selamat bagi kanak-kanak bermain,” tambahnya.
Tambah Hannah pihaknya kini dalam fasa penelitian untuk memanfaatkan semua fasiliti dan infrastruktur yang terdapat di Kuala Lumpur. -MalaysiaGazette















