Aksi pemain beregu negara, Man Wei Chong (kanan) dan Kai Wun Tee (kiri) ketika menentang pemain Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada perlawanan akhir kejohanan Perodua Malaysia Masters 2025 ketika di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 25 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Malaysia diundi menentang Jepun pada Kejohanan Badminton Piala Thomas 2026 yang dijadualkan berlangsung di Horsens, Denmark, dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Dalam undian peringkat kumpulan yang diadakan di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di sini hari ini, skuad lelaki kebangsaan diletakkan dalam Kumpulan B bersama Jepun dan dua lagi pasukan Eropah, iaitu England serta Finland.

Di atas kertas, Jepun yang juga juara berpasukan Asia 2026 bakal memberikan cabaran getir kepada pasukan negara kerana mereka memiliki skuad seimbang dalam kedua-dua kategori perseorangan lelaki dan beregu.

Sebaliknya, ujian sebenar Malaysia terletak pada konsistensi kem perseorangan.

Kem perseorangan lelaki, yang berpotensi menampilkan pemain nombor 23 dunia Leong Jun Hao, Justin Hoh (nombor 38 dunia) dan pemain profesional Lee Zii Jia (nombor 86 dunia) setakat ini melalui musim yang kurang memberangsangkan.

Pasukan Malaysia juga perlu berwaspada terhadap England, yang menamatkan saingan di tempat ketiga Kejohanan Badminton Berpasukan Lelaki Eropah dan dijangka mempertaruhkan pasangan beregu lelaki utama mereka Ben Lane-Sean Vendy.

Lane-Vendy sebelum ini membuktikan mereka bukan lawan mudah apabila mencatat kemenangan ke atas pasangan utama Malaysia, termasuk juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Sementara itu, skuad wanita kebangsaan mendapat laluan yang memihak kepada mereka dalam Piala Uber 2026.

Skuad wanita Malaysia diundi dalam Kumpulan B, yang menyaksikan mereka bakal menentang juara enam kali Jepun, diikuti Turkiye dan Afrika Selatan.

Dengan undian ini, pasukan wanita kebangsaan berpeluang cerah untuk mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak edisi 2010, dengan syarat mereka mampu mencatat kemenangan meyakinkan ke atas Turkiye dan Afrika Selatan.

Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan Piala Thomas dan Piala Uber akan mara ke peringkat suku akhir.

Malaysia kali terakhir menjulang trofi Piala Thomas pada edisi 1992 yang diadakan di sini manakala skuad wanita kebangsaan masih belum pernah memenangi Piala Uber.

Berikut adalah undian penuh Pusingan Akhir Piala Thomas dan Piala Uber 2026:

Piala Thomas

——————

Kumpulan A: China, India, Kanada, Australia

Kumpulan B: Jepun, Malaysia, England, Finland

Kumpulan C: Taiwan, Denmark, Korea Selatan, Sweden

Kumpulan D: Indonesia, Perancis, Thailand, Algeria

 

Piala Uber

————-

Kumpulan A: China, India, Denmark, Ukraine

Kumpulan B: Jepun, Malaysia, Turkiye, Afrika Selatan

Kumpulan C: Taiwan, Indonesia, Kanada, Australia

Kumpulan D: Korea Selatan, Thailand, Bulgaria, Sepanyol – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast