MELAKA – Kes jenayah indeks di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus apabila 318 kes direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 16 Mac lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, peningkatan itu melibatkan pertambahan sembilan kes dengan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda masing-masing mencatatkan kenaikan.
“Bagi jenayah kekerasan, sebanyak 67 kes direkodkan berbanding 63 kes tahun lalu, iaitu peningkatan empat kes atau 6.3 peratus yang dipengaruhi oleh kes rogol serta mendatangkan cedera parah.
“Namun begitu, kes samun tanpa senjata api menunjukkan penurunan dalam tempoh sama,” katanya pada sidang media selepas Program Ronda Santai Panjut Pelita bersama Ketua Polis Melaka, di Balai Polis Batang Tiga, Klebang di sini awal pagi tadi.

Menurutnya, bagi jenayah harta benda pula, sebanyak 251 kes direkodkan berbanding 246 kes tahun lalu, meningkat lima kes atau dua peratus melibatkan kes curi dan curi motosikal.
Mengulas mengenai program Ronda Santai Panjut Pelita, Dzulkhairi berkata, program itu bukan sahaja untuk memantau kesiapsiagaan anggota, malah membuka ruang kepada mereka menzahirkan kreativiti menghias panjut pelita sempena Aidilfitri.
“Program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kebersamaan antara warga PDRM dan masyarakat sekali gus memperkukuh hubungan antara polis dan komuniti.
“Sepanjang program ini, tiga balai polis telah dilawati iaitu Balai Polis Simpang Bekoh, Balai Polis Hutan Percha dan Balai Polis Batang Tiga,” katanya.
Mengulas persiapan menjelang Aidilfitri beliau berkata, Kontinjen Melaka akan melaksanakan Op Lancar Aidilfitri 2026 dalam dua fasa iaitu 18 hingga 20 Mac dan 27 hingga 29 Mac, selain Op Selamat 26 dari 19 hingga 24 Mac selama enam hari.
“Sebanyak 10 lokasi hotspot dan tujuh lokasi blackspot telah dikenal pasti di seluruh negeri dengan tumpuan di pintu masuk tol serta kawasan bandar.
“Berdasarkan statistik tahun lalu, dianggarkan lebih 300,000 kenderaan akan memasuki Melaka sepanjang tempoh perayaan ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















