KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad berpendapat kemungkinan sambutan Aidilfitri jatuh pada hari Sabtu ini berikutan kedudukan hilal atau anak bulan yang tidak memenuhi syarat ditetapkan.
Menerusi satu video ceramah yang tular di media sosial, beliau berkata, ini kerana berdasarkan pengiraan ilmu falak atau hisab yang menyebabkan ketinggian hilal direkodkan sekitar dua darjah, sekali gus tidak cukup untuk diiktiraf sebagai anak bulan.
Jelas beliau, syarat hilal perlu mencapai sekurang-kurangnya tiga darjah seperti ketetapan yang dipersetujui oleh negara anggota MABIMS iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura.
“Kalau tidak cukup tiga darjah, maka hari ke-29 tidak dikira masuk bulan baharu. Jadi bulan digenapkan kepada 30 hari,” katanya.
Sementara itu, Ustaz Abdul Somad turut menjelaskan kaedah kedua iaitu rukyah yang melibatkan cerapan anak bulan menggunakan mata kasar atau alat seperti teleskop.
Selain itu, dia turut menyentuh kaedah ketiga dikenali sebagai kalender global antarabangsa, yang mengambil kira kenampakan hilal di mana-mana lokasi di dunia.
“Kalau ada satu tempat di dunia nampak hilal, walaupun sedikit, maka ia dianggap sah untuk seluruh dunia. Kaedah ini digunakan oleh Muhammadiyah,” ujarnya.
Beliau berkata, perbezaan pendekatan inilah yang menyebabkan wujudnya perbezaan tarikh permulaan puasa dan sambutan hari raya antara negara atau organisasi tertentu. – MalaysiaGazette















