Drama Khas Aidilfitri Ai.FM

KUALA LUMPUR – Dilema seorang mualaf yang terpaksa bermain tarik tali dengan rahsia pengislamannya demi menjaga hati seorang ibu menjadi tunjang utama drama radio khas Aidilfitri terbitan Ai.FM tahun ini.

Berjudul ‘Terima Kasih Mak’, drama itu pastinya akan menyentuh hati ramai pendengar.

Ia mengisahkan perjalanan hidup Ah Meng, seorang pemuda yang telah memeluk Islam sejak dua tahun lalu, namun tidak mempunyai keberanian untuk berterus-terang kepada ibunya yang bukan beragama Islam.

Sepanjang dua tahun bergelar mualaf, Ah Meng terpaksa menjalani kehidupan dalam penuh kerahsiaan.

Dek kerana bimbang akan penerimaan keluarga serta khuatir mengguris hati wanita yang melahirkannya, dia memilih untuk merahsiakan status agamanya sehingga terpaksa ‘berbohong’ dalam beberapa situasi demi menutup identiti baharunya.

Namun, segala-galanya mula berubah apabila dia bertemu dengan sepasang suami isteri yang prihatin.

Melalui nasihat dan bimbingan mereka, Ah Meng akhirnya sedar kejujuran adalah kunci kepada ketenangan dan hubungan kekeluargaan tidak seharusnya dibina atas dasar rahsia yang membebankan jiwa.

Kemuncak drama itu menyentuh emosi apabila Ah Meng akhirnya memberanikan diri untuk bersemuka dengan ibunya.

Namun, apa yang tidak disangka, naluri seorang ibu ternyata lebih tajam daripada yang disangkakan.

Si ibu rupa-rupanya sudah lama menyedari perubahan besar dalam diri anaknya itu.

Biarpun Ah Meng tidak pernah mengungkapkannya dengan kata-kata, perubahan akhlak, tutur kata yang lebih lembut serta cara hidup Ah Meng yang lebih teratur dan bertanggungjawab telah memberi petunjuk awal kepada si ibu.

“Seorang ibu akan sentiasa nampak perubahan pada anaknya.

“Bukan kerana kata-kata, tapi kerana perbuatan dan peribadi yang semakin mulia,” antara dialog yang meruntuh jiwa pendengar dalam drama tersebut.

Drama itu diakhiri dengan suasana hiba apabila si ibu dengan hati terbuka menerima pilihan hidup Ah Meng.

Dia mengakui Islam yang dibawa oleh anaknya itu telah menjadikan Ah Meng seorang insan lebih baik daripada sebelumnya.

Kisah itu membawa mesej mendalam buat masyarakat, terutamanya sempena sambutan Aidilfitri, yang mana Islam itu indah bukan sahaja pada syariatnya, tetapi pada akhlak yang dipamerkan kepada orang sekeliling, terutamanya kepada ibu bapa meskipun berbeza keyakinan.

Bagi pendengar Ai.FM, drama itu bukan sekadar hiburan halwa telinga, tetapi merupakan cerminan realiti kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia yang penuh dengan toleransi, kasih sayang, dan keajaiban hidayah.

Drama yang ditulis pengarah dan pelakon prolifik, Sabree Yunus itu diterbitkan oleh Syafiq Liow.

Drama yang dibarisi pelakon berpengalaman seperti Ardini Angeline Tan, Elaine Aisyah Chua, Sysfiq Liaw dan Sabri Yunos itu boleh didengar menerusi striming radio Ai.FM, RTM Klik dan 704 Saluran MYTV. pada hari raya pertama nanti pada jam 10.10 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast