KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy membidas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung isu subsidi diesel sambil menegaskan naratif dibawa itu tidak mencerminkan keseluruhan fakta ekonomi semasa.
Menurut beliau, kenyataan tersebut dilihat mengulangi pendekatan lama yang bersifat emosional tanpa mengambilkira keperluan reformasi subsidi yang telah lama diperlukan negara.
“Sewaktu rakyat membuat persiapan Aidilfitri, kenyataan seperti ini hanya menimbulkan persepsi sempit tanpa memahami realiti ekonomi dan keperluan penstrukturan semula subsidi,” tulisnya dalam Facebook hari ini.
Sivamalar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menegaskan, kerajaan ketika ini masih mengekalkan harga RON95 bersubsidi sekitar RM1.99 seliter meskipun berdepan tekanan harga minyak global.
Langkah itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam melindungi majoriti rakyat berbanding harga pasaran RON97 yang berada sekitar RM3.85 seliter.
“Dalam keadaan konflik global yang memberi tekanan kepada harga minyak, kerajaan tetap mengekalkan kawalan harga bahan api demi kesejahteraan rakyat.
“Namun perkara ini langsung tidak dihargai, sebaliknya terus dimainkan dengan naratif negatif,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Sivamalar berkata, pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar bertujuan mengurangkan ketirisan yang sebelum ini mencecah berbilion ringgit selain memastikan bantuan hanya dinikmati golongan yang benar-benar layak.
Langkah tersebut turut mengambilkira kepentingan sektor kritikal termasuk logistik, pengangkutan awam dan pertanian melalui mekanisme perlindungan tertentu.
“Ketirisan subsidi sebelum ini bukan sahaja membabitkan pembaziran besar, malah turut membuka ruang kepada penyalahgunaan termasuk aktiviti penyeludupan.
“Justeru, pendekatan bersasar adalah langkah perlu bagi memastikan keadilan dalam agihan subsidi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan pelbagai langkah mitigasi bagi mengurangkan kesan pelarasan diesel terhadap kos sara hidup rakyat.
Antara langkah tersebut termasuk bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjumlah RM1.3 bilion kepada 5.2 juta penerima.
Selain itu, bantuan khas turut disalurkan kepada penjawat awam, pesara dan veteran, di samping penghargaan kepada lebih 70,000 imam, bilal, guru KAFA serta warga pengurusan masjid.
Sivamalar turut menegaskan cadangan untuk menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar bukanlah penyelesaian, sebaliknya hanya akan mengekalkan kelemahan struktur ekonomi sedia ada.
“Negara tidak boleh ditadbir dengan pendekatan bertangguh tanpa hala tuju jelas. Inilah antara punca kelemahan yang kita warisi hari ini,” katanya.
Beliau turut mencabar pihak pembangkang agar mengemukakan pelan mitigasi yang jelas dan berdaya laksana sekiranya benar mahu membela nasib rakyat.
“Jika benar ingin membantu rakyat, kemukakan penyelesaian yang menyeluruh, bukan sekadar menimbulkan kebimbangan. Cukuplah politik dangkal. Rakyat hari ini semakin matang dan menilai berdasarkan tindakan, bukan sekadar retorik,” katanya.-MalaysiaGazette
















