Menurut Mohd Suhail, usaha memanjangkan sedekah terutama pada bulan Ramadan ini digalakkan

MEKAH – Bermastautin belasan tahun di Tanah Suci menjadikannya sudah biasa dengan tanggungjawab sosial dan aktiviti berkebajikan kepada penduduk setempat atau dikenali sebagai aktiviti sabil.

Ia menjadikan Mohd Suhail Abdul Hamid, 43, dan isteri Jauhar Uzaida Uzir, 41, aktif melakukan aktiviti sabil kepada golongan asnaf di sini.

Aktiviti sabil digalas dengan baik kerana jemaah dan rakyat Malaysia sangat pemurah di mana mereka selalu memberi makan percuma terutamanya pada bulan Ramadan.

Malah memberi makan percuma kepada golongan memerlukan di sini dihidupkan oleh komuniti setempat yang didiami rakyat Malaysia yang digelar Mukimim Mekah.

Menurut Mohd Suhail, usaha memanjangkan sedekah terutama pada bulan Ramadan ini digalakkan dengan mengumpul sumbangan daripada jemaah tempatan termasuk dari rantau Asia.

“Ramai yang menyumbang terutamanya dari Malaysia, Singapura, Brunei yang memberi amanah untuk membuat aktiviti memberi makan di sini.

“Ada jemaah yang datang dalam serba kekurangan tapi mereka tetap beribadah kepada Allah sebab yakin bantuan rezeki itu ada.

“Keadaan semasa situasi perang ini juga membantu setiap sedekah memberi makan termasuk kepada jemaah terkandas secara percuma,” katanya.

Mohd Suhail yang juga mutawif yang berpengalaman lebih 15 tahun itu menganggap kepercayaan dan amanah yang diberikan tergalas bagi membantu mereka mendapat keberkatan pahala yang berganda.

Maka agihan makanan perlu dilakukan secara telus dan dibuat di sendiri di lapangan bagi memastikan ia sampai krpada tangan yang betul.

Tambahnya memberi makan kepada tetamu Allah merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam.

Sementara itu, salah seorang rakyat Malaysia, Syed Nabil Athrash Syed Ahmad, 48, pula menyifatkan sebagai umat Islam tanggungjawab bersama dalam melakukan kerja kebajikan walau merantau di mana sahaja.

Jelas bapa anak tiga itu membuat aktiviti di negara orang membolehkan beliau menambah pengalaman mengenali dan bergaul dengan orangtempatan.

Tambahnya aktiviti sabil yang dibuat boleh mengajak kenalan di Malaysia bersedekah selain memupuk minat mereka mengenali tanah suci sekaligus menjadi tetamu Allah.

“Syukur alhamdulillah terima kasih kepada jenaah dan kenalan yang menyumbang kepada golongan meerlukan di sini. Setiap riyal yang diamanahkan digalas dengan baik dan senoga beroleh keberkatan setiap sedekah yang diberikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast