KLUANG – Bau sahaja sudah kecur air liur. Itu penangan Lemang Sarawak bagi yang pernah merasai keenakkannya.
Setiap kali menjelangnya minggu akhir Ramadan, keadaan lalu lintas berhampiran bulatan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di bandar ini pasti dipenuhi dengan deretan kenderaan yang bergerak perlahan.
Bermula dari awal pagi hingga malam, kesesakan berdekatan bulatan itu dilihat orang ramai mencari ruang kosong di tepi jalan untuk meletakkan kenderaan kerana ingin menuju ke sebuah gerai kayu yang dipenuhi dengan ribuan kayu dan buluh.
Kedai Lemang Sarawak, bagaikan tidak menang tangan pemilik mahupun pekerjanya melayan permintaan pelanggan yang tidak putus-putus.
Namun pada kali ini jualan Lemang Sarawak habis sebelum menjelang malam raya akibat pembelian panik orang ramai yang menjangkakan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari ini.
Berikutan keadaan itu, pemiliknya, Adnan Ibrahim, 57, hanya menjual kira-kira 200 batang lemang pada hari ini dan dijangka akan habis sebelum menjelang petang jika mengikut permintaan yang sedia ada daripada orang ramai.
Menurut Adnan, keadaan berlaku berikutan tempahan pukal daripada peminat lemang dari Singapura sebanyak 700 batang selain orang ramai yang tidak mahu terlepas mendapatkan makanan tradisi yang kadang-kadang menjadi menu wajib pada pagi Syawal.
Jelasnya, sebanyak 2,000 batang lemang disediakan untuk dua hari terakhir Ramadan pada tahun ini namun akibat daripada jangkaan hari raya akan disambut hari ini, orang ramai tidak putus-putus datang membeli sejak semalam sehingga hampir kehabisan stok buluh hari ini.
Pihaknya tidak menjangka sambutan dan tahun ini adalah kali pertama sejak 21 tahun lalu buluh lemang tidak cukup untuk dijadikan lemang walaupun telah menyediakan jumlah lebih banyak daripada tahun-tahun sebelum ini.
“Orang ramai menjangkakan raya akan jatuh hari ini menyebabkan mereka membeli secara mengejut semalam, keadaan ini tidak merisaukan kami kerana Lemang Sarawak mampu bertahan sehingga tiga hari tanpa perlu dimasukkan dalam peti sejuk.
“Mereka memilih Lemang Sarawak kerana selain sedap dan mempunyai rasa tersendiri berbanding lemang-lemang lain ia juga lebih murah daripada kedai-kedai lain yang ada antara RM13 hingga RM20 sebatang,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Adnan lagi, harga lemang yang dijual agak murah dan tidak pernah dinaikkan sejak kira-kıra 10 tahun lalu walaupun terpaksa berhadapan dengan kos kenaikkan harga kayu api, buluh, beras pulut dan santan.
Ujarnya, tiada kenaikan harga itu dilakukan kerana pihaknya mahu semua peminat Lemang Sarawak dapat membelinya tanpa rasa terbeban dengan kos selain turut berniat untuk bersedekah pada orang ramai. – MalaysiaGazette
















