Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Lima lelaki warganegara asing yang melarikan diri ke Singapura berjaya diberkas selepas terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di kawasan Southkey di sini pada 14 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian berkenaan berlaku pukul 5 pagi yang mengorbankan mangsa berusia 32 tahun selepas diserang menggunakan senjata tajam oleh beberapa individu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini akibat tikaman di bahagian leher,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian tersebut semua suspek dipercayai melarikan diri termasuk ke Singapura bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Katanya, pukul 12.15 pagi kelmarin, sepasukan anggota dari Bahagian D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berjaya menahan seorang suspek ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke republik tersebut.

Susulan itu katanya, pukul 6 petang semalam, empat lagi suspek berjaya ditahan dengan bantuan pihak polis Singapura selepas mereka melarikan diri ke republik berkenaan.

Menurutnya, suspek pertama direman tujuh hari bermula 18 hingga 24 Mac, manakala empat lagi suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 26 Mac bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan semakan rekod juga menunjukkan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai di nasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, selain menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast