Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan kerajaan Pulau Pinang berhubung kenaikan kadar cukai tanah yang didakwa meningkat sehingga ribuan kali ganda dan menyifatkannya bercanggah dengan semangat manifesto PRN 2023.

Beliau berkata, kenyataan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow manifesto bukan dokumen yang mengikat kerajaan negeri untuk tidak melaksanakan dasar baharu amat mengejutkan.

“Kalau pengundi tahu manifesto itu membenarkan kenaikan cukai tanah sampai beribu kali ganda, saya percaya ramai tidak akan menyokong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semasa pelancaran Manifesto Perpaduan bertemakan ‘Kita Penang, Kita Boleh’ pada Ogos 2023, tiada sebarang bayangan bahawa kenaikan cukai tanah secara drastik akan dilaksanakan.

Guan Eng menegaskan, cubaan menyamakan kenaikan cukai tanah dengan inisiatif ekonomi seperti Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) juga tidak tepat.

“PIFC membawa manfaat kepada negeri tetapi kenaikan cukai tanah ini terus menekan pemilik tanah termasuk golongan biasa,” ujarnya.

Beliau turut membangkitkan beberapa kes melibatkan kenaikan mendadak termasuk sebuah sekolah di Butterworth yang menyaksikan cukai meningkat lebih 4,000 kali ganda selain kes pemilik tanah individu yang terpaksa menanggung kenaikan ratusan hingga ribuan kali ganda.

Menurutnya, dakwaan bahawa hanya golongan berada terkesan juga tidak benar kerana terdapat kes melibatkan rumah kampung dan tanah warisan.

Dalam masa sama, Guan Eng mempersoalkan kenyataan Kon Yeow yang mendakwa tidak menerima banyak aduan ketika turun padang.

“Apa gunanya jelajah satu negeri kalau tidak dapat dengar sendiri masalah pengundi di Batu Kawan yang terkesan secara langsung?,”soalnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa kes menunjukkan pengurangan semula cukai sehingga 80 hingga 90 peratus selepas dibangkitkan sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketepatan sistem sedia ada.

“Kalau sistem ini betul, kenapa perlu kurangkan sampai begitu banyak? Ini jelas menunjukkan ada masalah dalam pengiraan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bagan itu menggesa kerajaan negeri menyemak semula kaedah penilaian cukai tanah dan mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.

“Janji dalam manifesto ialah tiada siapa dipinggirkan. Prinsip itu perlu dipegang, bukan diketepikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast