GEORGE TOWN – Ketidaktentuan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat memberi isyarat jelas terhadap risiko peningkatan inflasi yang boleh menekan rakyat, selain menunjukkan kerajaan tidak mampu mengekalkan subsidi petrol RON95 pada kadar semasa untuk tempoh panjang.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader menegaskan, walaupun harga RON95 kekal pada RM1.99 seliter di bawah program BUDI MADANI sejak 30 September lalu, namun realiti pasaran menunjukkan harga sebenar bahan api itu terus meningkat mengikut perkembangan global.
Katanya, harga runcit RON95 tanpa subsidi dianggarkan meningkat daripada RM2.59 seliter pada minggu 26 Februari kepada RM3.27 dalam tempoh kurang dua minggu, sekali gus meningkatkan beban subsidi kerajaan kepada kira-kira RM1.28 bagi setiap liter jika paras itu berterusan.

“Perkembangan itu menunjukkan kebergantungan kepada subsidi bahan api tidak boleh diteruskan tanpa had, khususnya jika harga minyak mentah dunia melonjak akibat gangguan bekalan.
“Keadaan ini berisiko mencetuskan lonjakan inflasi yang lebih ketara, sekali gus memberi tekanan langsung kepada kos sara hidup rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.
“Jika konflik berpanjangan dan bekalan global terus terjejas, kerajaan bukan sahaja berdepan kesukaran untuk mengekalkan subsidi, malah berkemungkinan terpaksa melaksanakan kawalan penggunaan bahan api domestik,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Beliau berkata, walaupun Malaysia merupakan pengeluar minyak mentah ringan berkualiti tinggi, tapi masih bergantung kepada import minyak mentah dan produk petroleum ditapis bagi memenuhi permintaan domestik.
Katanya, sebarang kenaikan berterusan harga minyak global bukan sahaja memberi kesan kepada petrol, malah turut meningkatkan kos diesel dan gas petroleum cecair (LPG) yang digunakan dalam sektor pengangkutan, industri serta isi rumah.
“Dalam jangka panjang, peningkatan kos bahan api ini boleh menyumbang kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus mempercepatkan tekanan inflasi dalam negara.
“Risiko turut meningkat sekiranya berlaku gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak global, yang boleh menjejaskan bekalan serta meningkatkan kos penghantaran.
“Sehubungan itu, rakyat perlu mengamalkan perbelanjaan lebih berhemah serta mengurangkan penggunaan bahan api sebagai langkah menghadapi kemungkinan kejutan harga,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyokong langkah kerajaan menggesa kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengawal perbelanjaan termasuk mengehadkan perjalanan luar negara dan penganjuran acara besar dalam tempoh tidak menentu ini.
“Walaupun faktor global berada di luar kawalan, langkah berjimat cermat dan perancangan kewangan yang teliti mampu membantu rakyat dan negara menghadapi tekanan ekonomi yang semakin mencabar,” katanya. – MalaysiaGazette
















