Bot sekumpulan Pati dipintas pihak berkuasa yang dalam perjalanan menuju Indonesia. - Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Lebih 10 ‘jalan tikus’ dikenal pasti di sepanjang perairan dari Kuala Sepang, Selangor hingga Kuala Perlis yang menjadi tumpuan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang beraya ke kampung halaman.

Perkara itu didedahkan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, laluan ini sentiasa berubah-ubah kerana sindiket akan mencari ruang baharu untuk elak daripada dikesan, terutama di kawasan perairan yang berhampiran dengan sempadan negara jiran.

Menurutnya, aktiviti itu kebiasaannya didalangi sindiket penyeludupan migran yang menggunakan bot nelayan tempatan dan asing untuk membawa Pati merentasi perairan negara.

“Sindiket menggunakan bot nelayan tempatan dan asing bagi membawa migran keluar dan masuk secara haram, dengan pergerakan paling aktif antara jam 3 hingga 5 pagi.

Jaffri (tengah) menyampaikan bungkusan kuih raya sebagai tanda penghargaan kepada anggota yang bertugas di perairan sepanjang musim perayaan ini.

“Mereka turut melibatkan tekong darat yang mengumpul migran di lokasi transit sebelum diserahkan kepada tekong laut.

“Berdasarkan siasatan tangkapan terdahulu, kos dikenakan kepada setiap migran dianggarkan antara RM1,500 hingga RM2,500 seorang,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan bungkusan kuih raya kepada 111 petugas sebagai tanda penghargaan kepada anggota yang bertugas di perairan sepanjang musim perayaan ini.

Tambah beliau, selain warga Indonesia, ancaman turut melibatkan Pati dari Myanmar dan Rohingya yang kebanyakannya memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, beberapa siri tangkapan melibatkan kumpulan ini telah dilaksanakan oleh PDRM bersama agensi penguatkuasaan lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 28 migran ditahan di sekitar perairan Selangor sepanjang Aidilfitri tahun lalu, membabitkan 17 lelaki dewasa, enam wanita dewasa dan lima kanak-kanak.

“Justeru operasi khas Aidilfitri tahun ini kita buat strategi tertentu bagi memastikan perairan negara tidak dijadikan laluan sindiket membawa keluar masuk PATI.

“Meskipun kita berdepan cabaran kehadiran ‘tonto laut’ serta faktor garis pantai yang panjang dan kedudukan sempadan yang berhampiran negara jiran namun ia tidak menjadi penghalang untuk melumpuhkan kegiatan sindiket sebegini.

“Untuk operasi kali ini seramai 111 anggota dengan sokongan 18 aset menjalankan rondaan 24 jam bagi memastikan perairan negara bebas daripada kegiatan haram ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast