Nor Arfah menyerahkan duit raya dalam Program Jalinan Syawal kepada penghuni Anak-anak Yatim Shafar, Kempas, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Harapkan pagar, pagar makan padi. Itu adalah peribahasa tepat untuk menggambarkan nasib seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa cabul datuknya sendiri.

Kejadian tersebut berlaku ketika Mia, bukan nama sebenar  berusia lima tahun.

Dia dicabul datuknya sendiri di rumahnya di Kulai kira-kira tujuh tahun lalu.

Semasa penderitaan dan trauma akibat perbuatan tersebut masih menghantuinya, kanak-kanak malang berkenaan didera pula oleh ahli keluarganya sendiri. dengan dicucuh rokok.

Tidak mahu nasibnya semakin bertambah buruk, Mia kemudian dimasukan ke Rumah Anak-anak Yatim Shafar, Kempas di sini sejak tragedi hitam tersebut berlaku.

Penjaga rumah anak yatim tersebut, Aminah Harun berkata, Mia kini sudah berusia 12 tahun dan sudah kira-kira enam tahun tinggal di rumah anak yatim tersebut.

“Sejak dimasukkan ke Rumah Anak-anak Yatim Shafar, Mia terus terputus hubungan dengan ibu bapa dan ahli keluarganya. Tiada siapa pun pernah datang menjenguknya sehingga hari ini.

“Mia kini sudah menjadi ahli keluarga besar di rumah ini. Dia seperti sudah menjadi anak saya, begitu juga penghuni lain yang berada di rumah ini,” katanya yang berasal dari Singapura dan kini menetap di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima bantuan pihak Hospital Pakar Bandar Dato’ Onn di sini baru-baru ini menerusi Program Jalinan Syawal bagi membantu golongan kurang bernasib baik sekitar daerah ini.

Penyerahan bantuan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Arfah Arshad.

Turut hadir Pakar Bedah Neuro dan Tulang Belakang Bandar Dato’ Onn Specialist Hospital, Dr Risdhawati Hassan serta Ketua Pegawai Perubatan Bandar Dato’ Onn Specialist Hospital, Dr Aidilnurul Fareena Ishak.

Bercerita lanjut, Aminah berkata, pihaknya mengambil Mia selepas mendapat kebenaran dari Mahkamah Syariah di sini dan kes cabul serta dera terhadapnya masih lagi dalam proses mahkamah.

Menurutnya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada juga memaklumkan ada membuat siasatan terhadap kes itu bagi mendapatkan keadilan untuk Mia.

Mengenai rumah anak yatim tersebut, beliau berkata, terdapat 20 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun menghuni di situ yang menempatkan mereka daripada asnaf, anak yatim dan daripada latar belakang keluarga yang bermasalah.

“Selepas masuk tingkatan satu nanti, mereka akan masuk ke rumah kebajikan lain dan kalau akademiknya bagus akan masuk sekolah asrama,” katanya.

Aminah bersyukur kerana ramai pihak prihatin dengan rumah anak yatim tersebut yang sudah berusia 12 tahun beroperasi dengan memberikan pelbagai bantuan termasuk sumbangan Hari Raya Aidilfitri bagi meringankan beban.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast