Polis melakukan serbuan di port lumba haram kereta di Lebuh Medini Utama, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Polis melakukan serbuan di lokasi lumba haram kereta dalam Ops Motokar di Lebuh Medini Utama di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, operasi khas berkenaan menyasarkan kumpulan kereta yang kerap melakukan aksi berbahaya di lokasi berkenaan.

“Operasi dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah (BPJKKD).

“Hasil serbuan sebanyak 45 kereta diperiksa membabitkan 77 individu terdiri daripada 63 lelaki dan 14 wanita berusia antara 18 hingga 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian struktur kenderaan seperti ekzos, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta kesalahan lain di bawah peraturan ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jelas Kumarasan, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan.

“Perbuatan ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini terus terpelihara.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast