JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Night Zoo Johor bakal dibuka secara rasmi kepada umum pada 27 Mac ini.
Menurutnya, Night Zoo Johor bakal menjadi tarikan baharu buat rakyat Johor dan pelancong dalam dan luar negara, sekali gus membawa satu pengalaman baharu bagi pengunjung menikmati keindahan zoo pada waktu malam.
“Pembukaan zoo pada waktu malam lengkap dengan lebih 35 spesies baharu yang menarik, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM8.73 juta bagi tujuan naik taraf.
“Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor supaya Zoo Johor dinaik taraf kepada konsep Night Zoo sebagai salah satu mercu tanda pelancongan utama negeri ini,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik dalam Facebook miliknya.
Beliau berkata, menerusi peruntukan sebanyak RM8.73 juta, pelbagai kerja naik taraf dilaksanakan melibatkan sistem saliran, pembentungan, pencawang elektrik serta pencahayaan bagi memastikan suasana yang lebih selesa, selamat dan menarik.
Night Zoo Johor ujarnya, bakal beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad dari pukul 8 hingga 11 malam dengan kemasukan terakhir pada pukul 10 malam.
Menurutnya, harga tiket adalah RM10 bagi dewasa, RM5 bagi kanak-kanak lima tahun ke atas dan warga emas 60 tahun ke atas.
“Bagi pelancong asing, harga tiket adalah sebanyak RM30, manakala kemasukan percuma bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah dan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Onn Hafiz berkata, antara tarikan utama adalah siri ‘feeding show’ yang berlangsung sepanjang malam membabitkan haiwan nokturnal.
Katanya lagi, tarikan itu memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan sendiri gelagat semula jadi haiwan pada waktu paling aktif dalam suasana yang lebih dekat, interaktif dan berinformasi.
Selain itu katanya, kerajaan negeri memberi penekanan serius terhadap aspek keselamatan dan kebersihan dengan pembabitan pengawal zoo, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Rondaan berkala serta penempatan ambulans, selain pengurusan kebersihan akan dilaksanakan secara berjadual bagi menjamin keselesaan semua pengunjung,” katanya.
Onn Hafiz berharap semoga inisiatif Night Zoo itu terus memberi manfaat kepada rakyat Johor serta menjadi satu kebanggaan bersama-sama.
Menteri Besar Johor berharap usaha itu mampu menarik lebih ramai pengunjung dan pada masa sama memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan utama negara.- MalaysiaGazette
















