Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang penunggang menunggang sambil membakar mercun di Kilometer 185, Jalan Johor Bahru–Seremban, Segamat

SEGAMAT- Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang dirakam menunggang secara berbahaya sambil membakar mercun dalam satu video tular yang tular dalam media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan M Nantha berkata, kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 185, Jalan Johor Bahru–Seremban, melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ, pukul 10.30 malam kelmarin.

“Polis memandang serius kejadian ini dan sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan lanjut.

“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Segamat di talian 07-9325811,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta membahayakan keselamatan awam.

Rakaman video tular menunjukkan penunggang berkenaan menunggang sambil membakar mercun dengan percikan api jelas kelihatan di bahagian tangan sebelum dilempar ke jalan.

Aksi berbahaya itu turut mengundang kecaman orang ramai kerana boleh mencetuskan kemalangan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast