JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menafikan dakwaan berlaku kekurangan bekalan RON97 di bandar raya ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo menjelaskan, gangguan yang dilaporkan membabitkan satu syarikat pembekal bahan api sahaja di stesen minyak di Jalan Tebrau dan Pelangi Indah.
“Bukan tiada RON97 di Johor Bahru. Semalam dalam antara pukul 2 hingga 4 petang, difahamkan syarikat pembekal bahan api terlibat menjalankan jaminan kualiti (quality assurance) bagi memastikan petrol yang diedarkan berada pada tahap terbaik.
“Proses ini menyebabkan sedikit kelewatan penghantaran, namun ia hanya bersifat sementara dan tidak berlarutan sehingga berhari-hari,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum itu, tular video stesen minyak memaparkan notis kehabisan RON97 di Johor Bahru.
Tambah Lilis Saslinda, pengguna mempunyai pilihan lain termasuk stesen minyak jenama berbeza di sekitar kawasan tersebut sepanjang tempoh gangguan.
KPDN Johor turut mengesahkan bekalan mencukupi, selain memberi jaminan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan tiada gangguan berulang, khususnya ketika musim cuti perayaan ketika ini.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak menularkan sebarang spekulasi tidak sahih berkaitan isu bekalan minyak yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan pengguna,” katanya.
Kerajaan mengumumkan pelarasan harga runcit petroleum bagi tempoh 19 hingga 25 Mac 2026, dengan kenaikan ketara melibatkan RON97 dan diesel di Semenanjung susulan situasi semasa konflik di Asia Barat.
Dalam kenyataan tersebut, harga petrol RON97 naik sebanyak 70 sen kepada RM4.55 seliter berbanding minggu sebelumnya.
Pada masa sama, diesel di Semenanjung turut mencatat peningkatan sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter.
Semua kenderaan bernombor pendaftaran asing (Thailand, Singapura, Indonesia) diwajibkan menggunakan RON97 di Malaysia dan dilarang keras membeli petrol bersubsidi RON95.- MalaysiaGazette
















