PASIR GUDANG- Sepasang suami isteri yang tinggal dalam sebuah pondok usang bawah pokok di Taman Cendana di sini tidak menyangka dapat meraikan Syawal di kediaman baharu di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Napishah Ahmad, 58, menyifatkan PPR di Taman Cendana itu sebagai satu hadiah pada Hari Raya Aidilfitri kali ini.
“Kami yang menghuni di sebuah pondok usang bawah pokok tidak menjangka dapat meraikan Aidilfitri di rumah PPR ini.
“Saya dan suami sebelum ini tinggal dalam pondok usang tersebut dan berkerja mengusahakan kebun kenalan di Taman Cendana sejak lebih setahun lalu.
“Suami bekerja sebagai buruh kasar, saya pula tidak dapat bekerja atas faktor kesihatan selepas menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan di belakang leher, selain mengalami tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol,” katanya ketika ditemui pemberita.
Dia berkata, sebelum ini mereka tinggal di kawasan Layang Layang di Kluang namun terpaksa berpindah apabila tanah berkenaan diambil pemilik.
“Suami tiada pendapatan tetap, selain menjaga saya yang baharu menjalani pembedahan belakang leher. Kami tidak mampu membayar sewa rumah yang mencecah RM500 hingga RM800 sebulan.
“Saya tidak pernah memohon bantuan rumah dan sebagainya sebelum ini kerana tidak mengetahui cara membuat permohonan,” katanya.
Napishah berkata, kehidupan di pondok sebelum ini serba kekurangan termasuk berdepan risiko diancam binatang berbiasa namun mereka hanya reda.
Dia bersyukur apabila nasibnya mendapat perhatian Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang menguruskan pemindahannya ke Blok 46, PPR Taman Cendana selepas mereka dikesan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata).
Dia dan suaminya, Muhamad Sofi, 46, bersyukur kerana dapat meraikan Syawal dalam suasana selesa pada tahun ini.
Mereka dipindahkan ke PPR berkenaan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri serta turut menerima beberapa barangan keperluan sumbangan MAIJ mahupun kelengkapan dapur daripada Permata.
“Kami memulakan kehidupan baharu di sini, tiada apa yang lebih menggembirakan bagi kami terutama dapat menyambut Syawal di sini.
“Suami tidak perlu bimbang lagi untuk keluar bekerja kerana rumah ini selamat serta kami juga mendapat jiran-jiran baharu.
“Kami berterima kasih atas keprihatinan ini, hanya Allah dapat membalas jasa pihak yang membantu kami,” katanya.
Pada pertengahan bulan ini, pasangan berkenaan menerima kunjungan Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Datuk Faridah P Hamsa yang meninjau kehidupan mereka di kawasan kebun berkenaan. – MalaysiaGazette
















