JOHOR BAHRU – Kerajaan didesak mengambil langkah lebih berani dan tidak lagi berkompromi dalam menangani isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Pengerusi Biro Agama dan Pembangunan Modal Insan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pejuang Johor, Azrif Abd Rashid berkata, siasatan mesti dijalankan secara segera, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan atau pilih kasih.
Beliau berkata, tular berkaitan hantaran yang didakwa mempromosikan gaya hidup LGBT sempena sambutan Haribm Raya Aidilfitri di Melaka baru-baru ini.
Apatah lagi katanya, apabila dimaklumkan salah seorang individu yang terlibat berasal dari Johor.
“Perkara ini bukan sahaja mencetuskan keresahan dalam masyarakat, malah memberi gambaran jelas bahawa cabaran sosial seumpama ini turut melibatkan Johor dan tidak boleh dianggap sebagai isu terpencil atau bersifat sementara.
“Dalam era digital yang serba pantas, kandungan dalam media sosial mampu membentuk persepsi dan norma masyarakat secara tidak langsung.
“Apa yang bermula sebagai satu hantaran peribadi boleh berkembang menjadi trend yang mempengaruhi pemikiran generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau beranggapan, jika tiada tindakan tegas dan konsisten daripada pihak berkuasa akan membuka ruang kepada normalisasi perkara yang jelas bertentangan dengan nilai agama, budaya serta asas pembinaan institusi kekeluargaan di negara ini.
Tegasnya, setiap individu yang didapati terlibat dalam mempromosikan kandungan yang bercanggah dengan norma masyarakat perlu dikenakan tindakan undang-undang setimpal sebagai isyarat jelas bahawa perkara itu tiada toleransi.
Pejuang Johor menegaskan Malaysia tidak ketandusan undang-undang untuk menangani isu seperti ini.
Peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang syariah negeri serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberi asas yang cukup untuk tindakan penguatkuasaan, katanya.
Pejuang Johor mempersoalkan mengapa dalam banyak keadaan, tindakan yang diambil dilihat lambat, tidak menyeluruh atau sekadar bersifat reaktif selepas isu menjadi tular.
Sehubungan itu, Pejuang Johor mendesak agar kerajaan mengambil langkah yang lebih berani dan tidak lagi berkompromi dalam menangani isu-isu seperti ini.
Tegasnya, siasatan mesti dijalankan secara segera, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan atau pilih kasih.
“Setiap individu yang didapati terlibat dalam mempromosikan kandungan yang bercanggah dengan norma masyarakat perlu dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal sebagai isyarat jelas bahawa perkara ini tidak akan ditoleransi.
“Kami juga menggesa supaya kerajaan memperkenalkan garis panduan yang lebih tegas terhadap kandungan media sosial, termasuk mewajibkan platform digital bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menurunkan kandungan sensitif dengan kadar segera,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan berkala perlu dipertingkat bukan hanya ketika isu menjadi tular, tetapi sebagai langkah pencegahan berterusan.
Selain itu, Pejuang Johor mendesak agar satu pelan tindakan nasional dirangka bagi menangani gejala sosial yang semakin membimbangkan ini.
Azrif menjelaskan, tindakan ini perlu merangkumi pendekatan menyeluruh termasuk pendidikan nilai di sekolah, pengukuhan peranan institusi agama, program kesedaran masyarakat serta sokongan kepada keluarga dalam membentuk generasi yang berpegang kepada nilai murni.
Kerajaan katanya, tidak boleh hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata tanpa usaha pencegahan yang sistematik.
“Kami turut menggesa agar kerjasama antara kerajaan negeri diperkukuh, khususnya dalam kes yang melibatkan individu merentasi negeri seperti Johor dan Melaka
“Tindakan susulan tidak boleh terhenti di lokasi kejadian sahaja, sebaliknya perlu melibatkan negeri asal individu bagi memastikan pendekatan yang lebih holistik termasuk pemantauan, kaunseling dan tindakan lanjut jika perlu,” katanya.
Dalam masa yang sama, Pejuang Johor menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar batas undang-undang dan sensitiviti masyarakat.
Ujarnya, prinsip tanggungjawab sosial mesti diutamakan dalam setiap penggunaan platform digital.
Kegagalan kerajaan untuk bertindak tegas katanya, hanya akan memberi mesej bahawa perkara itu boleh diterima secara senyap-senyap, seterusnya mempercepatkan proses normalisasi dalam masyarakat.
“Kami ingin mengingatkan bahawa ketegasan kerajaan dalam isu ini akan menjadi penentu kepada arah tuju sosial negara pada masa hadapan.
“Rakyat sedang memerhati dan mengharapkan tindakan yang jelas, bukan sekadar kenyataan. Kerajaan tidak boleh terus dilihat berkompromi atau berlengah dalam isu yang menyentuh asas nilai masyarakat,” tambahnya.
Pejuang Johor berdiri teguh dan tiada kompromi terhadap perkara yang menghakis nilai agama, budaya dan jati diri negara, tindakan mesti diambil sekarang, bukan kemudian.- MalaysiaGazette
















