Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan, agensi itu tiada kaitan dengan segala bentuk aktiviti meminta wang perlindungan.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata, pihaknya juga tidak terlibat dalam penyalahgunaan kuasa mahupun sebarang perlakuan yang menyalahi undang undang.

“DBKL merujuk kepada video yang tular di media sosial yang mengaitkan nama agensi itu dengan dakwaan dan perlakuan seperti yang dipaparkan.

“Organisasi ini menafikan menafikan sekeras-kerasnya cubaan untuk mengaitkannya dengan sebarang bentuk aktiviti meminta wang perlindungan, salah guna kuasa atau sebarang perlakuan yang menyalahi undang undang.

“Sebarang kenyataan yang dibuat oleh individu tersebut adalah kenyataan peribadi dan sama sekali tidak mewakili pendirian mahupun tindakan DBKL,” ujar agensi itu dalam kenyataan tersebut menerusi laman Facebook.

DBKL memandang serius penularan video tersebut kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan awam serta menjejaskan integriti, kredibiliti dan reputasinya.

Menurut kenyataan, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan tuduhan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang sahih berhubung salah laku atau unsur jenayah, perkara tersebut wajar disalurkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut lunas undang undang.

DBKL kekal komited menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.

Semalam, tular satu klip video yang memaparkan dua lelaki mendakwa sebagai anggota Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dipercayai berbincang dengan pemilik sebuah premis urut berhubung bayaran wang perlindungan.

Dalam video berkenaan, individu terbabit didakwa menawarkan maklumat awal mengenai operasi penguatkuasaan DBKL sebagai balasan, bagi membolehkan premis tersebut menghentikan operasi sementara bagi mengelak dikenakan tindakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast