JOHOR BAHRU – Kerajaan wajib memberikan penjelasan yang telus, berasaskan fakta dan angka sebenar kepada rakyat berhubung isu subsidi petrol, diesel dan gas serta kaitannya dengan keuntungan besar diperoleh Petronas.
Timbalan Ketua Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Zainuddin Adan berkata, rakyat berhak memahami bagaimana beban subsidi diuruskan, lebih-lebih lagi apabila negara memiliki sumber hasil yang signifikan daripada sektor tenaga.
“Berdasarkan data semasa, sebelum tercetusnya konflik global pada 2025, subsidi petrol dan diesel berada pada tahap jauh lebih rendah iaitu sekitar RM0.7 bilion sebulan pada awal tahun (bersamaan RM8.4 bilion setahun).
“Namun, susulan kenaikan harga minyak global, jumlah ini meningkat kepada sekitar RM3.2 bilion sebulan (RM38.4 bilion setahun) menjelang pertengahan tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam tempoh tersebut, kerajaan melaksanakan mekanisme subsidi bersasar melalui BUDI95 bermula 30 September 2025, iaitu sebelum berlakunya perang.
Pada masa yang sama katanya, subsidi gas seperti tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dan elektrik masih diteruskan, namun jumlahnya jauh lebih kecil berbanding subsidi petrol dan diesel.
Jelas beliau, selepas berlakunya perang pada 2026, kos subsidi pukal melonjak sehingga RM4 bilion sebulan atau sekitar RM48 bilion setahun.
Namun begitu katanya, selepas pelaksanaan penuh dasar subsidi bersasar melalui Budi95 dan Budi Diesel, jumlah subsidi berjaya dikurangkan kepada sekitar RM2 bilion hingga RM2.5 bilion sebulan, bersamaan RM24 bilion hingga RM30 bilion setahun.
“Pendekatan ini mengehadkan bantuan hanya kepada golongan sasar seperti isi rumah berpendapatan rendah, nelayan, pekebun kecil dan sektor pengangkutan awam,” ujarnya.
Dalam masa yang sama kata Zainuddin, Petronas sebagai syarikat minyak dan gas nasional terus mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh.
Pada 2025, Petronas merekodkan keuntungan bersih sekitar RM45.4 bilion, dan pada 2026, selepas berlakunya konflik global, keuntungan syarikat itu diunjurkan meningkat kepada antara RM52 bilion hingga RM54 bilion, didorong oleh kenaikan harga gas asli cecair (LNG) di pasaran antarabangsa.
Perkembangan itu katanya, menunjukkan bahawa hasil daripada sektor tenaga negara berada pada tahap yang sangat memberangsangkan.
Namun begitu dalam Belanjawan 2026, kerajaan hanya menetapkan bayaran dividen sebanyak RM20 bilion kepada negara, meninggalkan baki keuntungan sekitar RM25.4 bilion hingga RM27.4 bilion dalam simpanan Petronas, katanya.
Menurutnya, persoalan besar yang timbul ialah mengapa baki keuntungan ini tidak dimanfaatkan secara lebih menyeluruh untuk membantu rakyat.
Hakikatnya kata beliau, jumlah baki keuntungan Petronas tersebut hampir menyamai keseluruhan kos subsidi bersasar tahunan yang dianggarkan antara RM24 bilion hingga RM30 bilion.
“Ini menunjukkan bahawa terdapat ruang fiskal yang signifikan untuk kerajaan menggunakan hasil negara bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara secara drastik,” katanya.
Sehubungan itu, Pejuang Johor menegaskan bahawa rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas dan jujur daripada kerajaan.
“Mengapa dalam keadaan Petronas mencatat keuntungan besar, kerajaan masih gagal memanfaatkan sepenuhnya sumber tersebut untuk melindungi rakyat daripada kenaikan harga bahan api?
“Mengapa beban terus dipindahkan kepada rakyat sedangkan hasil negara mencukupi untuk menampung subsidi bersasar,” soalnya lagi.
Kerajaan katanya, tidak boleh terus berselindung di sebalik alasan fiskal tanpa memperincikan keutamaan perbelanjaan negara.
Beliau berkata, sudah tiba masanya satu penjelasan menyeluruh diberikan kepada rakyat, termasuk justifikasi dasar dividen Petronas dan strategi sebenar kerajaan dalam mengurus subsidi tenaga.
Pejuang Johor mendesak agar kerajaan bertindak segera, telus dan bertanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan utama dalam setiap keputusan ekonomi negara.- MalaysiaGazette
















