Aznan (tengah) bersama-sama mahasiswa anak Johor pada program Meh Balik Kampus di TMIYC Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan cuaca panas melampau sehingga Jun ini masih belum dilaksana di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, jika ada keperluan sesi persekolahan diteruskan seperti biasa atau PdPR, keputusan itu tertakluk bawah keputusan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kita akan memantau secara dekat situasi cuaca panas yang berkemungkinan besar akan menjejaskan sesi persekolahan.

“Ini bagi memastikan tidak ada murid dan pelajar di negeri ini yang terjejas kesihatan akibat cuaca panas yang berpanjangan.

“Kita mengambil pendekatan bersedia lebih awal sementara menunggu keputusan rasmi daripada kementerian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Meh Balik Kampus 2026-Mahasiswa Anak Johor di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihati rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini yang dijangka berlarutan sehingga awal atau pertengahan Jun ini.

Sultan Ibrahim turut menegaskan peranan KPM agar mengambil perhatian serius terhadap situasi itu dan langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kesihatan murid dan pelajar tidak terjejas akibat cuaca panas melampau.

Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata, kerajaan negeri akan mengikut sepenuhnya sebarang ketetapan yang dibuat KPM bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

“Insya Allah, kita juga akan memantau keadaan pelajar-pelajar kita pada sesi persekolahan minggu depan, jika berlaku apa-apa pengumuman daripada peringkat kementerian, negeri Johor akan ikut.

“Kami akan bersiap sedia kerana kita ada program yang dipanggil program sekolah selamat, jadi itu merupakan antara program-program yang kita cuba lihat bagaimana disamakan dengan situasi sekarang ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast