Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang giat mengkaji dan memperhalusi langkah penyelesaian bagi membantu industri pelancongan yang terkesan susulan tekanan situasi antarabangsa semasa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kementerian kini berkomunikasi serta mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi meneliti langkah paling sesuai dan munasabah untuk dilaksanakan.

Menurutnya, usaha itu bertujuan memastikan industri dapat mengharungi cabaran semasa dengan lebih lancar.

“Sehubungan itu, MOTAC memohon penggiat industri yang terjejas supaya memberi sedikit masa dan ruang kepada kementerian untuk merangka penyelesaian terbaik,” katanya dalam kenyataan.

King Sing berkata, beliau telah mengarahkan kementerian supaya segera mengadakan sesi libat urus menyeluruh bersama pemain industri pelancongan termasuk sektor pengangkutan pelancongan dan perkhidmatan berkaitan.

Katanya, sesi tersebut penting bagi mendapatkan maklumat secara langsung serta maklum balas industri, termasuk berkaitan tekanan kos, kesan terhadap operasi dan potensi kerugian yang dihadapi.

“Langkah ini bagi memastikan setiap pendekatan yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan industri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, Kementerian Kewangan turut menyatakan sokongan terhadap usaha penyelarasan yang sedang dilaksanakan dan akan menilai impak keseluruhan serta skop terlibat berdasarkan data dikemukakan industri.

Menurutnya, penilaian itu penting bagi membolehkan penyelesaian lebih bersasar dirangka.

King Sing turut mengingatkan pemain industri supaya kekal rasional dan berhemah serta tidak mengambil kesempatan menaikkan harga atau memindahkan kos secara tidak wajar kepada pengguna.

“Kita perlu berganding bahu dalam tempoh mencabar ini untuk memastikan kestabilan ekonomi negara dan keteraturan pasaran terus terpelihara,” tegasnya.

Beliau berkata, pembangunan ekonomi negara selama ini dibina atas asas kestabilan dan kepercayaan bersama, justeru semua pihak perlu terus bekerjasama dalam menghadapi cabaran luaran.

Tambahnya, kerajaan akan terus meletakkan kesejahteraan rakyat dan kestabilan industri sebagai keutamaan, dengan sebarang langkah diperkenalkan secara berperingkat selepas penilaian menyeluruh dilakukan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast