ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor akan mencari penyelesaian sekiranya terdapat aduan kenaikan kos tambang bas sekolah susulan kenaikan kos bahan api.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berkenaan kenaikan kos tambang bas sekolah.
“Kerajaan negeri Johor sekarang telah memantau jumlah bas sekolah dalam negeri Johor tapi kita belum ada buat keputusan apa-apa. Sekiranya berlaku apa masalah sebagainya, kita cuba cari solusi untuk menyesuaikan masalah tersebut.
“Jadi insya-Allah kalau perlu nanti kita lihat bagaimana cara, cadangan untuk bantu. Kita faham keadaan-keadaan semasa dan sebab itulah kita berterima kasih kerana dalam program Johor ini ada bantuan Kasih Johor,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Meh Balik Kampus 2026-Mahasiswa Anak Johor di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Terdapat beberapa rungutan ibu bapa mendakwa berlaku kenaikan tambang van sekolah sebanyak RM10 dan bimbang akan terus naik sekiranya keadaan global bertambah buruk akibat krisis di Timur Tengah. – MalaysiaGazette
















