KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru berpegang kepada prinsip di mana bekalan bahan api mesti diutamakan untuk memenuhi keperluan asas rakyat tempatan selain harga minyak perlu dikawal secara munasabah agar tidak menambah beban kos sara hidup.
Justeru Ketua Wirawati Parti Warisan Negeri Perak, Hooi Mi Suet berkata, dasar subsidi Budi95 mesti dilaksanakan secara telus dan jelas agar tidak menimbulkan salah faham atau dilihat sebagai alat politik secara tidak langsung.
Menurut beliau, rakyat telah menerima dasar tersebut tetapi menolak penjelasan yang tidak jujur, tidak munasabah dan tidak meyakinkan.
“Jika isu domestik tidak ditangani dengan jelas dan telus, risiko kekurangan bekalan bahan api bukan lagi sekadar spekulasi tetapi boleh menjadi krisis sebenar yang menjejaskan kestabilan sosial dan keselamatan ekonomi rakyat.
“Kami berharap dan menyeru agar Kerajaan Perpaduan benar-benar mengutamakan penggunaan sumber negara untuk melindungi rakyat. Jangan biarkan rakyat biasa menanggung beban ini sendirian.
“Ambillah serius kebimbangan awam dan berikan jaminan yang jelas melalui tindakan yang telus serta bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mi Suet menambah, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengatakan bekalan petroleum negara Malaysia hanya mencukupi sehingga Mei ini telah menambahkan lagi kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Persoalannya, kata beliau, adakah dakwaan ini benar atau sekadar persediaan awal untuk membentuk persepsi rakyat terhadap kemungkinan kenaikan harga pada masa akan datang.
“Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak mempunyai sumber semula jadi sendiri. Namun, kenyataan seperti ini telah menyebabkan ramai rakyat beranggapan bahawa bekalan bahan api domestik akan menghadapi kekurangan.
“Mengapa kerajaan hanya fokus menekankan faktor antarabangsa seperti konflik di Asia Barat sebagai alasan sehingga rakyat terpaksa bersama-sama menanggung tekanan kenaikan harga minyak?” soalnya.
Mi Suet memberitahu, negara mempunyai keupayaan dan sumber untuk melindungi rakyat dan kerajaan tidak seharusnya terus-menerus menjadikan faktor antarabangsa sebagai alasan.”
“Dalam keadaan tekanan ekonomi yang semakin meningkat, isu kenaikan harga minyak dan bekalan bahan api bukan lagi sekadar perbincangan dasar, tetapi telah menjadi cabaran nyata yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian dan beban kewangan rakyat biasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















