Presiden PKBM, Datuk Dr. Azman Yusoff, bercakap pada sidang media mengenai isu kenaikan harga bahan binaan yang dibangkitkan oleh Persekutuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) di MATRADE, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 MAC 2026

KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menggesa kerajaan mengambil langkah segera bagi membantu industri pembinaan yang kini berdepan tekanan serius susulan kenaikan mendadak harga diesel.

Presidennya, Datuk Dr Azman Yusoff berkata, harga diesel industri melonjak daripada sekitar RM2.79 seliter pada Februari kepada kira-kira RM6.85 seliter ketika ini, peningkatan sebanyak RM4.06 atau 145 peratus dalam tempoh kurang dua bulan.

Menurut beliau, kenaikan luar biasa itu memberi kesan langsung kepada kos operasi kontraktor, khususnya melibatkan penggunaan jentera berat, pengangkutan bahan binaan serta keseluruhan rantaian logistik projek.

“Kenaikan ini sangat ketara dan sukar ditanggung kontraktor. Hampir semua kos berkaitan pembinaan meningkat termasuk sewaan jentera dan kos pengangkutan,” katanya dalam sidang media di pejabat PKBM, di sini hari ini.

Presiden PKBM, Datuk Dr. Azman Yusoff, bercakap pada sidang media mengenai isu kenaikan harga bahan binaan yang dibangkitkan oleh Persekutuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) di MATRADE, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 MAC 2026

Beliau berkata, antara kos yang terjejas termasuk kadar sewaan lori satu tan yang mencecah sehingga RM450 sehari, lori tiga tan sekitar RM550 sehari, excavator sehingga RM1,300 sehari dan jentolak (backhoe) sekitar RM650 sehari.

Tambahnya, peningkatan kos diesel turut memberi kesan berantai kepada harga bahan binaan seperti simen, besi dan komponen lain yang dijangka meningkat antara 30 hingga 40 peratus.

Dalam masa sama, beliau berkata, lebih 41,000 kontraktor berisiko terjejas sekiranya situasi itu berterusan, termasuk kemungkinan projek dihentikan, kelewatan penyiapan serta gangguan aliran tunai syarikat.

“Apabila kos meningkat secara mendadak, ada kontraktor yang terpaksa menghentikan kerja kerana tidak mampu menanggung kos operasi harian,” ujarnya.

Sehubungan itu, PKBM mencadangkan agar kerajaan mengaktifkan semula mekanisme Variation of Price (VOP) yang sebelum ini dihentikan bagi membantu kontraktor menyesuaikan kos projek dengan keadaan semasa.

Menurut Azman, pelaksanaan semula VOP sekurang-kurangnya untuk tempoh sementara boleh membantu memastikan projek tidak terbengkalai serta memberi ruang kepada kontraktor untuk terus beroperasi.

Presiden PKBM, Datuk Dr. Azman Yusoff. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 MAC 2026

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga disaran mengkaji semula projek sedia ada yang terjejas, mengawal harga bahan binaan serta mempertimbangkan pelaksanaan pakej rangsangan khas bagi industri pembinaan.

Tambahnya, kerjasama strategik antara kerajaan, pembekal dan pemain industri juga penting bagi memastikan kestabilan kos serta kelangsungan projek pembangunan negara.

“Jika tiada langkah segera diambil, industri pembinaan berisiko menghadapi krisis lebih besar termasuk peningkatan projek terbengkalai dan syarikat kontraktor gulung tikar,” katanya.

Beliau menegaskan, PKBM bersedia bekerjasama dengan kerajaan dan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian menyeluruh demi memastikan industri pembinaan terus kekal sebagai pemacu ekonomi negara. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast