Dua peniaga mercun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan cuai hingga meyebabkan kebakaran.

JOHOR BAHRU – Gara-gara cuai dalam mengendalikan bahan letupan dalam milikan mereka minggu lalu, dua peniaga mercun masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Terdahulu, tertuduh, Othman Abu Kasim, 31, dan Muhammad Husaini Ehsa, 36, masing-masing mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan cuai meninggalkan bahan letupan dengan tidak mematuhi jarak yang selamat antara bahan letupan dalam milikan mereka itu iaitu sejumlah mercun dalam gerai bunga api dengan bahan api yang terkandung dalam kenderaan-kenderaan yang diparkir berhampiran dengan jalan berkenaan.

Perbuatan itu adalah memadai dalam menghindarkan kebahayaan yang munasabah kepada nyawa manusia akibat bahan letupan itu.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Majidee Corner, Jalan Bunga Kemboja Majidee, Kampung Sulaiman Menteri, Majidee di sini, pukul 8.20 malam, 23 Mac lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 286 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Vijayan yang mewakili tertuduh memberitahu, Othman bekerja sebagai juruteknik dan sudah bercerai, manakala Muhammad Husaini yang bekerja dalam perkhidmatan kawalan serangga, sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda berkenaan kepada setiap tertuduh dan jika gagal membayar denda berkenaan, mereka boleh dipenjara selama empat bulan.

Minggu lalu, media melaporkan sebuah khemah pasang siap yang menjual mercun dan bunga api musnah dalam satu kebakaran yang menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Gen-2 dan sebuah ‘food truck’ terbakar apabila terkena percikan api.

Susulan kejadian itu, dua lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast