Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Mahmud Epah.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli kini disifatkan `parasit politik’ dan liabiliti terbesar kepada usaha reformasi, sekali gus perlu dibersihkan daripada parti itu.

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Mahmud Epah berkata, siri kenyataan dan tindakan terbuka Rafizi mutakhir ini tidak lagi boleh dipandang remeh.

Ini kerana, ujarnya, ia jelas menunjukkan satu corak yang membebankan imej PKR dan menggugat usaha murni reformasi.

Tegasnya, maruah parti tidak boleh terus digadaikan dengan polemik yang dicetuskan oleh individu yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukannya punca masalah, fitnah dan mengkhianati parti.

Sehubungan itu, beliau menggesa Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menghentikan tindakan sabotaj terhadap parti.

“Tindakan memburukkan imej parti dan pimpinan secara terbuka adalah satu bentuk pengkhianatan kepada mandat rakyat dan kepercayaan akar umbi.

“Segala ruang demokrasi dalam parti telah tersedia, namun tindakan memilih jalan konfrontasi terbuka hanya memberi peluru kepada musuh,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, sekiranya Rafizi merasakan prinsip beliau tidak lagi sehaluan dengan hala tuju parti atau lebih selesa menjadi “penyerang” dari dalam, adalah lebih bermaruah untuk beliau segera keluar daripada PKR.

“Kita tidak perlukan pimpinan yang menjadi liabiliti dan beban kepada kelangsungan parti. Adakah niat beliau untuk memecahbelahkan parti?” katanya.

Dalam masa sama, ujar beliau, polemik dalaman yang tidak berkesudahan hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap kredibiliti PKR sebagai tulang belakang Kerajaan Madani.

“Tiada individu yang lebih besar daripada parti. Fokus kita adalah untuk membina negara di bawah kepimpinan PMX, dan sesiapa yang menjadi penghalang kepada usaha ini akan kami tentang habis-habisan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast