Ali@Zainalabidin (tiga kiri) menunjukkan carta selepas Pengumuman Keputusan SPM 2025 Negeri Johor di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 472 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di negeri ini gagal menduduki peperiksaan tersebut bagi semua mata pelajaran.

Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Ali@Zainalabidin Syed Mohamed berkata, pihaknya mencatat 1.11 peratusan calon yang tidak hadir bagi peperiksaan utama tersebut pada tahun lalu.

“Bilangan calon yang tidak hadir bagaimanapun berkurangan berbanding 2024 yang mencatatkan 565 orang.

“Ketidakhadiran berkenaan mungkin berpunca daripada pelbagai faktor termasuk ekonomi keluarga dan kebiasaannya terdapat sesi kaunseling dan ziarah ke rumah dilaksanakan bagi calon seumpama itu.

“Pelbagai inisiatif dan intervensi dilaksanakan bagi membendung perkara berkenaan. Ada perkara yang di dalam kawalan manakala ada perkara di luar kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Pengumuman Keputusan SPM 2025 Negeri Johor di Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini hari ini.

Menurutnya, bilangan kehadiran calon SPM 2025 yang dicatat adalah 42,705 orang.

Pihaknya juga mengambil perhatian terhadak jurang Gred Purata Negeri SPM 2025 yang semakin meningkat antara bandar dan luar bandar.

Jelas beliau, GPN calon bandar adalah 4.27 mata berbanding 4.35 mata pada SPM 2024.

“GPN calon di luar bandar pula adalah 4.32 mata pada SPM 2025 berbanding 4.37 mata pada SPM 2024. Jurang berkenaan semakin membesar iaitu 0.05 mata,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast