JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor akan mengambil langkah awal dan tersusun dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat kesan daripada perang di Asia Barat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia bagi memastikan kebajikan rakyat Johor terus terpelihara dalam keadaan dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik itu.
“Saya bersama barisan Exco Kerajaan Negeri Johor sedang memperincikan langkah serta pendekatan bersasar untuk mengurangkan beban yang dirasai rakyat.
“Insya-Allah, beberapa inisiatif komprehensif dan berimpak tinggi akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Semoga setiap perancangan ini dapat dilaksanakan dengan teliti demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, sambil memacu pertumbuhan ekonomi negeri yang seimbang dan mampan. Insya-Allah,” tulisnya menerusi Facebook miliknya hari ini.
Turut dimuat naik dalam hantaran tersebut adalah foto pertemuan beliau dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi membincangkan perkara tersebut. – MalaysiaGazette
















