SEGAMAT – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari terhadap pengurus sebuah syarikat kitar semula buangan terjadual atas tuduhan terbabit dalam pengoperasian premis pemerolehan kembali buangan terjadual kod SW 103 dan SW 104 tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua tahun lalu.
Pengarah JAS Negeri Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, Orang kena saman (OKS), Lee Tay Hiong, 51, dijatuhi hukuman berkenaan selepas membuat pengakuan bersalah bagi pertuduhan dihadapinya selepas dibacakan di hadapan Hakim Rahimah Abd Majid.
Beliau berkata, pengurus kepada syarikat Solid New Energy Sdn Bhd itu didakwa bagi kesalahan di bawah Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Ini kerana menjalankan aktiviti pembinaan loji pulih guna (luar tapak) dan pembinaan kemudahan penstoran luar tapak bagi kod buangan terjadual SW 104 seperti yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 tanpa mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekeliling (EIA) daripada Ketua Pengarah JAS.
“OKS turut didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) akta sama kerana menempatkan buangan terjadual kod SW 104 di premis tanpa terlebih dahulu mendapatkan apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling.
“Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 16 Julai 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdahulu syarikat berkenaan yang didakwa atas tuduhan sama dijatuhi hukuman denda RM270,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 9 Mac lalu.
Mohd Famey berkata, pihak industri dan masyarakat diingatkan supaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
“Kegagalan pematuhan terhadap peruntukan jabatan akan menyebabkan tindakan perundangan dikenakan ke atas syarikat dan juga pengarah syarikat serta individu yang terlibat.
“Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.- MalaysiaGazette
















