PONTIAN – Seorang lelaki yang merupakan suami orang merpura-pura mengemas rumah semasa ditangkap khalwat dengan seorang janda di daerah ini kelmarin.
Menerusi serbuan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada pukul 2 pagi itu, lelaki berkenaan mendakwa berada di situ kerana mahu menghantar wanita tersebut ke rumah tersebut yang dijadikan homestay.
Menurut JAINJ, rumah berkenaan milik lelaki tersebut tetapi dia tidak tidak tinggal di situ, sebaliknya hanya datang sekali sekala dan menjadikannya sebagai homestay.
Wanita tersebut pula didakwa mahu menyewa homestay berkenaan pada hari itu.
Sebelum serbuan itu pihak JAINJ ada menerima aduan daripada orang awam lalu operasi cegah maksiat dilakukan.
“Apabila tiba di lokasi, penguat kuasa menemui sebuah kereta dan motosikal berhampiran rumah. Rumah ini adalah sebuah rumah batu setingkat.
“Pengadu telah memberikan maklumat yang berasas dan bukan palsu. Dua penguat kuasa ditugaskan menjaga di pintu belakang bagi menghalang sesiapa melarikan diri.
“Keadaan pintu hadapan berkunci dan gril bermangga. Penguat kuasa ketuk pintu hadapan sambil memanggil dan beri salam,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, pintu hadapan tidak dibuka selepas hampir sejam diketuk dan menunggu, sebelum penguat kuasa mengeluarkan alat pemotong besi untuk memotong mangga dan grill.
“Bunyi ketukan dan geseran agak kuat semasa tindakan itu membuatkan seorang lelaki membuka pintu dari dalam.
“Lelaki ini hanya berseluar pendek dan tidak memakai baju. Dia kelihatan pucat. Penguat kuasa memperkenalkan diri dan terus masuk ke ruang tamu untuk pemeriksaan lanjut,” jelas JAINJ.
Keadaan dalam ruang tamu samar-samar dan pemeriksaan mendapati rumah itu mempunyai dua bilik dan satu bilik lagi dijadikan stor.
Pemeriksaan di bilik utama menemui seorang wanita sedang duduk di sebelah katil memakai seluar panjang dan baju lengan panjang.
Keadaan bilik terang dan penghawa dingin terpasang, pemeriksaan dalam almari pula menemui pakaian, selimut dan cadar.
“Di dalam bilik didapati dua katil bujang tetapi dirapatkan seperti menjadi satu katil kelamin. Cadar dan selimut dalam keadaan renyuk dan bantal berterabur.
“Pemeriksaan di bilik kedua pula didapati gelap seperti tidak digunakan. Apabila ditanya hubungan mereka berdua, mereka hanya berpacaran dan bukan suami isteri serta bukan juga adik beradik tiri.”
JAINJ memberitahu, lelaki itu berumur 30-an, mempunyai isteri dan anak serta bekerja di sebuah daerah lain, wanita pula berusia 30-an, berstatus janda dan bekerja di daerah lain juga.
“Rumah ini adalah rumah kepunyaan lelaki tersebut dengan dibiarkan kosong tetapi datang jenguk sekali sekala sahaja. Ada masa juga rumah ini disewakan sebagai homestay terutama kepada kenalan rapat.
“Wanita datang ke Pontian menaiki kereta manakala lelaki naik motosikal.”
Tambah JAINJ, pengadu memaklumkan kejadian itu bukan kali pertama berlaku dan membuat aduan selepas memastikan mereka benar-benar bersekedudukan.
Kedua-dua mereka kemudian ditahan kerana disyaki berkhalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.- MalaysiaGazette















