KUALA LUMPUR – UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) semakin menghampiri penswastaan apabila menerima persetujuan daripada para pemegang saham ke atas cadangan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (SCR) yang dikemukakan oleh UEM Group Berhad (UEM Group).
Perenggan 8.29A(1) di bawah syarat penyenaraian pasaran utama Bursa Malaysia memperuntukkan bahawa resolusi khas ini perlu diundi secara poll.
UEM Group berkata, mesyuarat agung luar biasa yang berlangsung hari ini menyaksikan 97.09% jumlah saham tidak berkepentingan UEM Edgenta yang diambil kira, telah mengundi meluluskan cadangan berkenaan.
Manakala undi menentang pula 1.33%, kurang daripada 10% jumlah undi yang dipegang oleh pemegang saham tidak berkepentingan – memenuhi ambang yang diperlukan bagi resolusi tersebut diluluskan.
Susulan daripada kelulusan yang diterima daripada pemegang saham ini, UEM Group akan meningkatkan pegangan sedia adanya di dalam UEM Edgenta daripada 69.14% kepada 100%, sekali gus menjadikan UEM Edgenta sebagai anak syarikat milik penuhnya.
Bagi mengambil alih baki 30.86% kepentingan atau 257 juta saham, UEM Group akan membayar RM1.10 bagi setiap saham biasa UEM Edgenta, dengan jumlah bayaran keseluruhan tunai bernilai RM282 juta.
Cadangan SCR ini akan berkuatkuasa setelah perintah daripada Mahkamah Tinggi Malaya dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia difailkan.
Penyahsenaraian UEM Edgenta daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia dijangka dimuktamadkan pada awal Julai 2026.
UEM Group, setelah menjadi pemegang saham tunggal nanti, akan berkerjasama dengan UEM Edgenta bagi menetapkan hala tuju strategik.
Ia termasuk melaksakan inisiatif strategik dan menguruskan perniagaan mereka yang pelbagai secara lebih berkesan, ke arah mencapai matlamat untuk memacu pertumbuhan dan mengukuhkan prospek jangka masa panjang syarikat dalam menangani prestasi kewangan kurang memberangsangkan serta keadaan pasaran yang mencabar. – MalaysiaGazette
















